KOTA BHARU: Meja lipat, kabinet dapur, almari kasut, penyidai kain, rak botol dan dulang. Itu antara aneka jenis perabot dan barangan dihasilkan seorang pembuat roti canai dari Kampung Telipot, di sini menggunakan kayu pine.
Kehebatan Zamzani Rahim, 46, membuat perabot indah seakan-akan tukang kayu profesional tersebar dari mulut ke mulut, menyebabkan semakin ramai pelanggan berminat membuat tempahan dengannya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zamzani memberitahu, dengan modal RM2,000 untuk membeli kayu pine, dia memanfaatkan pengalaman menjadi tukang rumah selama lima tahun membuat perabot tersebut.
Bertukang seorang diri di halaman rumahnya, lelaki itu mampu menghasilkan kira-kira 50 jenis perabot dan barangan dengan pendapatannya kini mencecah RM7,000 sebulan.
“Di peringkat awal saya hanya membuat perabot pada sebelah petang dan berniaga roti canai pada sebelah pagi selama enam tahun. Sejak kebelakangan ini perniagaan roti canai kurang memberangsangkan.
“Pada masa sama perabot yang saya hasilkan menjadi ‘buah mulut’ pelanggan. Saya kemudian berhenti berniaga roti canai kerana mahu fokus membuat perabot di halaman rumah,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Zamzani, pelanggan setianya bukan sekadar sekitar Kelantan, bahkan dari Pahang dan Pulau Pinang turut berminat membuat tempahan selepas berpuas hati melihat hasil kerja tangan dia sebelum ini.
“Setiap tempahan siap dalam tempoh seminggu hingga tiga minggu, bergantung kepada saiz yang dikehendaki pelanggan,” katanya yang turut mengasah kemahiran membuat perabot melalui YouTube.
Dulang dihasilkannya dijual pada harga RM45, rak botol RM65, penyidai kain RM75 hingga RM120, meja antara RM70 hingga RM250, rak kasut RM250 hingga RM700 dan kabinet dapur antara RM1,500 hingga RM3,000, bergantung kepada saiz. – UTUSAN ONLINE










