PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melonggarkan beberapa syarat dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) selepas dipersetujui dalam mesyuarat pada 26 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kelonggaran itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.
Menurut beliau, syarat baharu itu termasuk memberi kelulusan kuota sebanyak 70 peratus daripada jumlah permohonan yang melepasi saringan verifikasi di Bahagian Penguat kuasa.
“Manakala baki 30 peratus tertakluk kepada keputusan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Kementerian Sumber Manusia.
“Selain itu, kebenaran kepada majikan di dalam sektor pembinaan, pertanian, perkilangan, perladangan dan perkhidmatan (subsektor restoran, kargo, borong dan runcit serta pembersihan dan pencucian) telah diperluaskan kepada sektor-sektor lain kecuali kepada sektor yang dibekukan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Khairul Dzaimee berkata, syarat kelayakan pendatang tanpa izin (PATI) pula diperluaskan kepada Pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang yang tamat tempoh.
Katanya, PATI yang telah dikeluarkan pelekat PLKS di dalam Program Rehiring dan 6P yang tamat tempoh juga dibenarkan untuk menyertai Program RTK.
Beliau berkata, syarat kelayakan umur PATI semasa permohonan dikemukakan juga telah dipanjangkan dari 18 tahun hingga 45 tahun kepada 18 tahun hingga 49 tahun.
Menurutnya, sejak RTK bermula pada 16 November 2020 sehingga 16 November lalu, sebanyak 14,788 majikan dan 255,909 pendatang asing telah mendaftar di dalam program ini.- UTUSAN