PETALING JAYA: Kerajaan sudah merangka usaha penyaluran bantuan kewangan bagi menyerap peningkatan kos di peringkat pengeluar dan pemborong dalam memastikan peningkatan harga barangan keperluan asas dapat distabilkan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna dalam satu kenyataan memaklumkan, satu perbincangan diadakan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Kewangan serta pihak berkepentingan berhubung perkara itu.
Menurut kenyataan itu, perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam sesi temuramah program Ruang Bicara: Aspirasi Keluarga Malaysia disiarkan di Bernama semalam.
“Beliau berkata susulan perbincangan telah diadakan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Kewangan serta pihak berkepentingan berkaitan isu kenaikan harga barangan seperti sayur, ayam dan telur.
“Usaha penyaluran bantuan kewangan bagi menyerap peningkatan kos di peringkat pengeluar dan pemborong sudah dirangka,” kata kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, fokus pihaknya kini adalah untuk memastikan harga barangan keperluan asas yang ketika ini mencatatkan peningkatan, dapat distabilkan menerusi mekanisme tertentu.
Dalam perkembangan lain, kementerian memaklumkan penurunan harga kit ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 adalah antara tiga petunjuk prestasi utama (KPI) yang digariskan oleh pihaknya kini sudah melakar pencapaian 100 peratus.
Menurut kenyataan itu, harga RTK antigen merekodkan penurunan dua kali dalam tempoh kurang dua bulan, sejak harga siling dikuatkuasakan pada September lalu.
“Kini, RTK antigen boleh didapati di premis peruncitan pada harga serendah RM4.90, iaitu pengurangan sebanyak 87.7 peratus berbanding harga asal iaitu RM39.90, ketika peranti ini mula dijual di pasaran.
“Susulan impak faktor persaingan, lambakan RTK antigen yang dijual di pasaran sehingga menjangkau 83 jenama dan pengeluar berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) setakat 24 November, maka kementerian mengambil pendirian bahawa tiada keperluan untuk menetapkan harga siling bagi peranti ini,” kata kenyataan sama.
Selain penurunan harga ujian kit sendiri, dua pencapaian lain adalah berkaitan Sarawak iaitu pengecualian menggunakan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan Akta Kawalan Bekalan (CSA) 1961 masing-masing di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan dan memastikan kemampanan industri francais. – UTUSAN ONLINE