370 hektar sawah padi rosak akibat banjir - Utusan Malaysia

370 hektar sawah padi rosak akibat banjir

PENGGUNA jalan raya meredah air dalam kejadian banjir di pekan Pokok Sena, Alor Setar, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Banjir kilat yang melanda Pendang, dekat sini Jumaat lalu mengakibatkan seluas 370 hektar sawah daripada keseluruhan 619.4 hektar di kawasan itu rosak.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pihaknya bagaimanapun belum mendapat laporan mengenai kerosakan sawah di Pokok Sena yang turut dilanda banjir.

“Jumlah kerugian di Pendang masih dalam penilaian. Bancian juga dilakukan bagi memohon Tabung Bantuan Bencana Tanaman Padi untuk proses penanaman semula,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi menafikan dakwaan kononnya kejadian banjir di Pokok Sena dan Pendang berlaku disebabkan limpahan dari empangan, sebaliknya akibat hujan lebat berpanjangan.

Beliau memberitahu, takungan air di Empangan Muda di Sik, dekat di sini didapati melebihi paras biasa iaitu pada kadar 104.2 peratus berikutan turunan hujan yang tinggi sejak kebelakangan ini.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan berlakunya limpahan air dari empangan tersebut ke Sungai Muda.

“Limpahan air dari Empangan Muda ini yang berjumlah 973 kaki padu sesaat itu dialirkan ke Sungai Muda dan ia tidak masuk ke kawasan sawah,” katanya.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat selepas seramai 446 mangsa dipindahkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah setakat semalam.

Mangsa banjir yang dipindahkan seramai 243 orang daripada 65 keluarga di lima PPS di daerah Baling dan Pendang.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusof berkata, sehingga pukul 8 pagi semalam, tujuh PPS dibuka di Baling, dua di Pokok Sena dan satu di Pendang.

“Kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan operasi pemantauan diteruskan berikutan keadaan cuaca masih tidak menentu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN