KUALA NERUS: Pulau Bidong di sini menawarkan satu lagi tarikan pelancongan baharu menerusi pembangunan 11 monumen mini negara-negara Asia Tenggara di dasar laut.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesemua monumen mini itu dibina pada kedalaman 10 hingga 15 meter di dasar laut berhampiran Stesen Penyelidikan Alami Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Katanya, projek berkenaan merupakan yang pertama di dunia hasil inisiatif kementerian bagi menggalakkan kelestarian pelancongan kebudayaan di samping memulihara warisan dasar laut.
“Semoga monumen mini ini dapat menarik lebih ramai pelancong terutama kalangan peminat selam skuba di seluruh dunia ke Pulau Bidong,” katanya ketika merasmikan monumen mini itu semalam.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar.
Nancy berkata, 11 monumen mini itu ialah Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, Monumen Kemerdekaan Kemboja dan Monumen Patuxai.
Katanya, antara monumen lain ialah Monumen Nasional Indonesia, Pagoda Shwedagon, Monumen Jose Rizal, Merlion, Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan, Pagoda Tran Quac dan Monumen Simbol Penyatuan ASEAN. -UTUSAN ONLINE