Warga emas 70 tahun kayuh demi tulisan Jawi - Utusan Malaysia

Warga emas 70 tahun kayuh demi tulisan Jawi

CHE Saad Noordin singgah bermalam di Kota Bharu dan memulakan kayuhan ke destinasi seterusnya, Terengganu semalam. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Warga emas dari Kedah, Che Saad Noordin bertekad mengerah sisa kudrat mengayuh basikal secara solo mengelilingi semenanjung Malaysia untuk membawa misi mengangkat martabat tulisan Jawi.

Bekas wartawan sambilan berusia 71 tahun itu memulakan kayuhan di Sungai Petani, Kedah pada 16 Oktober lalu dan dijangka menghabiskan misi dalam tempoh lima minggu di Perlis membabitkan jarak kayuhan 2,400 kilometer.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Che Saad berkata, ‘suaranya’ sebagai rakyat biasa tanpa kedudukan mungkin tidak seberapa, namun beliau tidak akan berpeluk tubuh untuk melihat tulisan Jawi pupus begitu sahaja.

Sepanjang lima minggu melakukan misi yang turut mendapat sokongan Pertubuhan Adab Malaysia, beliau akan mengumpul maklum balas dan pandangan orang ramai berkaitan tulisan Jawi di setiap lokasi persinggahan.

“Maklum balas dan pandangan ini akan dikumpulkan menjadi satu memorandum kepada kerajaan supaya mengangkat semula martabat tulisan Jawi sebagai tulisan warisan kebanggaan negara.

“Melalui memorandum ini juga, kita merayu supaya kerajaan menjadikan tulisan Jawi sebagai mata pelajaran wajib kepada anak-anak kita bagi membentuk jati diri mereka sebagai ahli Keluarga Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini.

Kelantan adalah destinasi persinggahannya yang ketiga selepas Perak dan selepas semalaman berada di bandar ini, Che Saad meneruskan kayuhan menuju ke destinasi keempat iaitu Kuala Terengganu pagi semalam.

Bagi memastikan misi tersebut selesai mengikut jadual, beliau menyasarkan untuk mengayuh sejauh 70 hingga 100 kilometer sehari, bergantung kepada cuaca dan bentuk muka bumi.

Ketika ini tambahnya, cuaca menjadi cabaran utama dan mungkin melambatkan perjalanan kerana kebanyakan tempat sering dilanda hujan serta ribu petir pada sebelah petang.

“Namun saya tidak akan mudah patah semangat. Saya berharap usaha kecil ini mendapat sokongan padu orang ramai di setiap lokasi persinggahan. Setiap kali singgah, saya turut mengedarkan pelekat mengajak orang ramai kembali belajar menulis Jawi,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN