
PETALING JAYA: Kerajaan akan terus mengutamakan ekonomi dan sumber pertumbuhan baharu bagi menjamin kesejahteraan rakyat pada tahun hadapan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dasar fiskal mengembang akan dikekalkan untuk merangsang ekonomi dengan inisiatif Bajet 2022 menumpukan kepada mempercepat pemulihan, memperkukuh daya tahan ekonomi dan memangkin pembaharuan.
Ujarnya, langkah itu juga selari dengan tema dan teras utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang baru diumumkan.
“Melangkah ke hadapan, meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan, kerajaan yakin ekonomi negara dapat bertahan daripada sebarang cabaran mendatang kerana mempunyai asas yang kukuh.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada 2022 berikutan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh serta peningkatan permintaan luar dari rakan dagang utama.
“Pemacu pertumbuhan lain termasuk harga komoditi yang lebih tinggi, persekitaran pasaran buruh yang bertambah baik, peralihan pantas kepada pendigitalan serta pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi,” katanya dalam prakata Tinjauan Ekonomi Bajet 2022.
Menurut Tengku Zafrul, kemunculan Covid-19 telah memberi beberapa pengajaran berharga dan mendorong kita menjadi lebih kreatif dalam memastikan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.
“Pertama, kita harus berfikir secara strategik bukan hanya dalam menangani Covid-19 tetapi untuk bangkit menjadi lebih berdaya tahan dalam pascapandemik.
“Kedua, di samping mencapai matlamat jangka masa pendek untuk mengelakkan kemelesetan ekonomi, kita juga perlu mengambil peluang ini untuk menangani isu struktural jangka masa sederhana dan panjang,” ujarnya.
Beliau menambah, walaupun penerimagunaan digital lebih pantas disebabkan pandemik, namun jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar tidak dapat dirapatkan tanpa infrastruktur digital yang sempurna di seluruh negara.
“Ekosistem pendigitalan negara membantu menghalang ekonomi daripada lumpuh semasa pelaksanaan pelbagai fasa sekatan pergerakan dan kini kita mesti berusaha memastikan rakyat mempunyai keupayaan digital agar dapat melibatkan diri dalam pembangunan negara.
“Justeru, kita mesti menggerakkan negara ke arah ekonomi digital termasuk menerusi 5G, mengikut kesesuaian, selari dengan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) untuk menyokong norma baharu pekerjaan dan pembelajaran, pengurusan pandemik dan bencana yang lebih baik melalui data masa nyata dan proses yang lebih kos efisien,” jelasnya. – UTUSAN










