PETALING JAYA : Beberapa pegawai penguat kuasa di sebuah agensi dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu ketirisan dalam projek uCustoms.
Memberitahu Utusan Malaysia, sumber berkata, kesemua mereka bagaimanapun hanya dipanggil untuk membantu siasatan.
Kata beliau, keterangan mereka diambil susulan penahanan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat kelmarin.
“Difahamkan, beberapa individu telah dipanggil namun tiada pengesahan sama ada mereka ditahan atau tidak,” katanya ringkas di sini hari ini.
Terdahulu, seorang CEO sebuah syarikat berusia 56 tahun ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk membantu siasatan.
Penahanan itu dilakukan selepas susp dikesan telah membuat bayaran tertentu dalam sebuah agensi kerajaan melibatkan projek berkenaan.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) adalah antara yang akan dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan mengenai kegagalan menyiapkan sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta, sehingga kini.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, setakat ini, kerajaan sudah membayar sejumlah RM272.99 juta bagi projek yang dimulakan pada Oktober 2013 dan diberi pelanjutan sehingga lima kali.
LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, baru-baru ini mendedahkan, sistem uCustoms oleh JKDM bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan.
Menurut laporan audit itu, sejumlah RM272.99 juta dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek, manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 dikenakan. – UTUSAN ONLINE