KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan memutuskan tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob selepas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti itu mengadakan mesyuarat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S. Padua berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan tindakan yang akan diambil terhadap keputusan ADUN Sindumin keluar daripada parti.
“Kita belum berbincang mengenai perkara ini. Kita akan mengadakan mesyuarat terlebih dahulu kerana ia membabitkan keputusan parti, bukan keputusan saya seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan parti terhadap keputusan Ketua Penerangan Warisan yang keluar parti dan melanggar ikrar taat setia yang ditandatangani wakil rakyat Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
Mengulas lanjut katanya, surat memaklumkan peletakan jawatan Yusof di dalam parti tidak lagi diperlukan kerana mengikut perlembagaan parti, apabila ahli mengumumkan keluar daripada parti secara sendirinya keahlian mereka akan digugurkan.
Loretto tidak menolak kemungkinan Yusof ada menghubungi Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal secara perbadi untuk memberitahu keputusannya meningalkan Warisan.
Yusof mengumumkan keluar daripada Warisan bagi menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mengikut ikrar taat setia kepada parti yang ditandatangani semasa PRN Sabah, semua wakil rakyat Warisan perlu meletak jawatan sebagai ADUN sekiranya mereka bertindak keluar parti.
Semasa ADUN Sebatik Hassan A. Gani Pg Amir keluar daripada Warisan pada 23 Februari lalu, Warisan turut menyerahkan surat peletakan jawatan ADUN Sebatik itu kepada Speaker DUN Sabah selaras dengan ikrar kesetiaan kepada Warisan.
Warisan turut mengheret ADUN Sebatik ke mahkamah kerana bertindak keluar parti dan seterusnya menyertai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Writ saman terhadap Hassan difailkan ke mahkamah pada April lalu bagi memaksa ADUN Sebatik itu mematuhi surat peletakan jawatan sebagai ADUN seperti yang ditandatangani semasa PRN lalu.