SHAH ALAM: Penjualan tiket bas di Terminal 17, Seksyen 17 di sini, mencatatkan jumlah luar biasa selepas kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan Isnin lalu.
Semakan mendapati lebih 2,000 tiket terjual kepada penumpang sama ada menerusi kaunter dan secara dalam talian.
Kira-kira 50 peratus penumpang rata-ratanya melibatkan perantau yang menuju ke Pantai Timur manakala selebihnya utara dan selatan tanah air.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, sebanyak 1,015 tiket terjual di kaunter terminal berkenaan setakat ini.
“Jumlah tersebut tidak termasuk jualan tiket secara dalam talian yang juga dalam anggaran jumlah sama.
“Penjualan sebelum ini hanya 700 tiket sekali gus menunjukkan bahawa sambutan luar biasa diterima selepas kebenaran rentas negeri diumumkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Jelas beliau, sebanyak 25 syarikat bas beroperasi di terminal itu yang melibatkan 50 trip perjalanan setiap hari.
Dalam pada itu, Shahrin berkata, pihaknya menerusi pengurusan Terminal 17 mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“Semua penumpang perlu menunjukkan sijil vaksinasi bagi membuktikan mereka sudah lengkap dua dos suntikan,” katanya.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong meminta semua pengusaha pengangkutan awam memastikan penumpang mematuhi SOP bagi perjalanan rentas negeri terutama lengkap vaksinasi.
Terminal 17 yang dibuka pada Mei 2019 dilengkapi sistem tiket berpusat dan paparan skrin maklumat destinasi bagi kemudahan pengguna. – UTUSAN ONLINE
SEORANG petugas sedang melakukan sanitasi pada tempat duduk penumpang dalam sebuah bas di Terminal Bas Ekspres Seksyen 17 di Shah Alam, Selangor. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI