Spageti masak lemak cili api 'menjadi' di Jeli - Utusan Malaysia

Spageti masak lemak cili api ‘menjadi’ di Jeli

HAZLINA Hassan menunjukkan menu Spageti Masak Lemak Cili Api Daging Salai dan Namtok Kerabu Kambing yang ditawarkan di Miena Kafe di Kampung Gemang, Jeli, Kelantan. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Strategi Miena Kafe di Kampung Gemang, di sini memperkenalkan menu Spageti Masak Lemak Cili Api Daging Salai benar-benar ‘menjadi’ kerana hidangan unik itu kini mencetus fenomena tersendiri di sekitar daerah ini.

Turut menjadi buah mulut dan memikat pelanggan yang baru pertama kali mencuba ialah masakan ala-Thai yang dipanggil Namtok Kerabu Kambing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemiliknya, Hazlina Hassan, 36, memberitahu, dia mengambil risiko memperkenal menu gabungan barat dan tempatan sebagai strategi untuk Miena Kafe bangkit semula.

“Ancaman pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sememangnya sangat mencabar, ditambah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan selama berbulan-bulan.

“Saya perlu memikirkan kelainan untuk ditawarkan kepada pelanggan demi meningkatkan hasil jualan sekali gus memastikan kelangsungan perniagaan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Kedua-dua menu terbabit dijual pada harga berpatutan iaitu antara RM9.50 hingga RM10.50 sepinggan.

Selain menu pelik tapi lazat, persekitaran Miena Kafe juga indah memukau seakan-akan sebuah resort hingga dianggap instaworthy iaitu lokasi yang berbaloi untuk dikongsikan gambar atau videonya di media sosial.

Status instaworthy itu secara tidak langsung menarik kehadiran ramai ‘pemburu’ kafe cantik dan golongan belia, terutama penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK), biarpun lokasinya agak jauh dari pusat bandar Jeli.

Bercerita lanjut, Hazlina berkata, sebelum membuka Miena Kafe, dia bekerja sebagai seorang penjawat awa, selain pernah mencari rezeki dengan berniaga pakaian wanita dan tudung.

“Saya kemudian beralih kepada perniagaan kafe butik yang dirasakan lebih sebati dengan diri namun tidak lama selepas itu, seluruh dunia diuji pula dengan pandemik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya