Shahrul bukan 'jual mahal' - Utusan Malaysia

Shahrul bukan ‘jual mahal’

SHAHRUL NIZAM ROS HASNI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Bukan tidak sudi untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya tetapi kerana masalah komunikasi atau salah faham didakwa menjadi punca pemain pertahanan Terengganu FC (TFC), Shahrul Nizam Ros Hasni tidak hadir melaporkan diri bersama skuad kebangsaan, semalam.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga pengurus skuad Harimau Malaya Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pemain itu gagal dihubungi bagi memaklumkan bahawa dia perlu melaporkan diri ke kem latihan pusat Harimau Malaya kerana turun ke laut.

Perkara itu beritahu oleh pengurus TFC Zulfadli Rozi menerusi panggilan telefon berkenaan status pemain skuad Penyu berusia 23 tahun tersebut.

“Sepanjang saya menjadi pengurus tak pernah berlaku lagi pemain tidak datang untuk panggilan skuad kebangsaan. Tetapi saya dihubungi pengurus TFC sebenarnya pemain ini dia ke laut.

“Jadi, bila dia (Shahrul) di sana memang tak dapat dihubungi, petang (semalam) baru dia mendarat dan dia juga terkejut,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi, semalam.

Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia akan berdepan Jordan (ke-93 dunia) di Stadium King Abdullah II di Amman pada 6 Oktober dan Uzbekistan (ke-84 dunia) di Stadium Antarabangsa Amman, 9 Oktober.

Terdahulu, pengendali Tan Cheng Hoe mengesahkan hanya 22 pemain dibawa ke Jordan selepas Sharul gagal dihubungi manakala pemain Selangor Sharul Nazeem Zulpakar terpaksa digugurkan saat akhir akibat kecederaan.

Nama Sharul antara tiga pemain disenaraikan Cheng Hoe Khamis lepas bagi menggantikan tiga pemain utama iaitu pertahanan FC Midtjylland Dion Cools, Muhammad Syahmi Safari (Selangor) dan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Akhyar Rashid, akibat kecederaan.

Shahrul turut diturunkan dalam kesebelasan utama Terengganu yang menewaskan Selangor 2-1 di Kuala Terengganu, Rabu lalu pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia.

Tambah Yusoff, beliau tidak menolak kemungkinan penyenaraian saat akhir juga antara faktor Sharul tidak menyedari khidmatnya diperlukan untuk bersama skuad kebangsan kali ini.

Bagaimanapun, Yusoff berkata beliau menyerahkan perkara itu untuk dinilai dan dikaji di peringkat Sekretariat walaupun Zulfadli memohon tiada tindakan diambil ke atas Shahrul, malah sanggup untuk memastikan di saat akhir pemainnya dapat menyertai pasukan.

“Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku lagi dalam mana-mana panggilan skuad kebangsaan pada masa hadapan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN