Setiap hari kucing mati dibaham anjing - Utusan Malaysia

Setiap hari kucing mati dibaham anjing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Boleh dikatakan setiap hari ada kucing sama ada yang ‘bertuan’ atau liar mati dibaham anjing berkeliaran sejak 2016 di Taman Perumahan Bukit Rangin Perdana 2, di sini.

Ancaman kira-kira 10 hingga 20 ekor anjing yang setiap hari berkeliaran di perumahan itu antara pukul 8 malam hingga awal pagi meresahkan penduduk di situ walaupun belum ada kes orang ramai digigit haiwan itu dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan.

Walaupun hanya kucing yang setakat ini menjadi mangsa haiwan liar tersebut, ia mengundang rasa takut dan bimbang penduduk berhubung keselamatan mereka khususnya kanak-kanak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Juraida berkata, empat ekor kucing peliharaannya mati dibaham anjing liar di perumahan tersebut.

“Anjing liar ini selalu makan kucing yang bertuan, saya pernah lihat sendiri sekumpulan anjing berkerumun makan kucing saya dan kucing milik penduduk lain pun saya pernah lihat dibaham haiwan itu.

“Anggaran kucing yang dibaham anjing liar di sini saya tidak pasti tetapi boleh dikatakan setiap hari ada kucing mati yang terbelah perut, hanya tinggal kepala dan pelbagai keadaan lagi,” katanya di sini semalam.

Juraida berkata, dia bimbang ancaman haiwan liar itu bertukar kepada penduduk pula kerana anjing yang berkeliaran di kawasan taman perumahan tersebut langsung tidak takut pada manusia.

“Aduan telah dibuat secara bersemuka dan dalam talian kepada pihak berkenaan oleh saya dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sini,” katanya.

Dia berharap pihak berkuasa tempatan melakukan tindakan susulan sama ada menangkap atau membasmi kewujudan anjing liar di situ, sekali gus menghilangkan keresahan penduduk di taman itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sekumpulan anjing berkeliaran di kawasan perumahan itu, malah ada beberapa anjing yang langsung tidak takut dengan kehadiran orang ramai yang lalu sama ada menunggang motosikal atau menaiki kereta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN