SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan program vaksinnya iaitu Selvax Komuniti dengan meluaskannya kepada penerima dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerusi Selvax Remaja.
Sebanyak kira-kira 150,000 dos Sinovac disediakan dan dijangka mampu menampung keperluan 75,000 remaja yang terdiri daripada pelajar tahun enam hingga tingkatan lima di seluruh negeri.
Bagaimanapun, pemberian vaksin itu akan melibatkan sekolah-sekolah di bawah kelolaan kerajaan negeri iaitu sekolah agama seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) seperti Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) dan Maahad Tahfiz Integrasi Selangor (MITS).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain sekolah kelolaan kerajaan negeri, Selvax Remaja juga ditawarkan untuk pelajar tahun enam sekolah rendah di Selangor termasuk jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
Katanya, dengan tambahan dos untuk Selvax Remaja itu, kerajaan negeri akan melengkapkan sasaran Selvax Komuniti dalam pemberian 500,000 dos vaksin secara keseluruhan, namun, pelaksanaannya dalam masa terdekat selepas penentuan pemberian secara berperingkat.
“Dalam anggaran yang ada sekarang, bagi pihak Selvax Komuniti, sebenarnya kita sudah pun menyelesaikan kira-kira 300,000 dos dan berbaki 12,000 dos lagi dengan anggaran untuk 6,000 orang.
“Justeru, kita akan meneruskan keenam hingga ketujuh kawasan lagi untuk Selvax Bergerak yang telah beroperasi kira-kira sebulan lalu di seluruh negeri. Insya-Allah, ia akan mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan remaja,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Amirudin menambah, bagi mempercepatkan program tersebut, beliau turut menyasarkan pemberian vaksin secara terus di sekolah-sekolah berbanding membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau PPV Mega.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu memaklumkan, pelaksanaan Selvax Remaja itu adalah terhad kepada syarat dikenakan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
“Sudah pasti kita tak mahu bersilangan dengan program kerajaan Persekutuan, kena berjalan seiring. Sebeb itu kita kena selaraskan dengan Jabatan Pendidikan dan sebagainya. Sebab itu, fokus kita utamakan sekolah di bawah JAIS yang dalam kawalan kita dan juga sekolah persendirian yang lain
“Tetapi, ada tambahan iaitu tak boleh diberikan kepada remaja komorbid yang mana jumlahnya sangat minimum berbanding orang dewasa. Tambahan syarat itu sudah dibincang dan diletakkan oleh pihak JKJAV,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










