Roti Canai Janda kembali 'meletup' - Utusan Malaysia

Roti Canai Janda kembali ‘meletup’

NORASIAH Abdul Rahman (kiri) bersama Nurul Nadia Ismail yang mengusahakan perniagaan roti canai di Kampung Baru Derang, Pokok Sena, Alor Setar, Kedah. - MINGGUAN/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedai Roti Canai Janda di Kampung Baru Derang, Pokok Sena, di sini kembali menjadi tumpuan setelah lebih dua bulan tidak dapat beroperasi berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dan 2 di negeri ini.

Pemiliknya, Norasiah Abdul Rahman, 48, berkata, sejak peralihan PPN Fasa 3 pada 1 Oktober lalu yang membolehkan orang ramai merentas daerah, perniagaannya kembali rancak.

“Sepanjang tempoh lebih dua bulan tidak beroperasi, kami tidak dapat melakukan apa-apa untuk peroleh pendapatan dan hanya duduk di rumah,” katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.

Janda anak tiga itu dibantu anak sulungnya, Nurul Nadia Ismail, 28, yang juga seorang ibu tunggal menguruskan kedai berkenaan.

Bagaimanapun, Norasiah berkata, perniagaannya telah terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Menurutnya, kedainya yang beroperasi seawal pukul 6 pagi kini kembali diserbu setelah dibuka dan ada pelanggan yang membuat tempahan awal.

“Ada yang menghubungi saya lebih awal untuk membuat tempahan kerana risau tidak dapat merasa roti canai ditebar saya sendiri.

“Kami yang kebiasaannya hanya membancuh adunan roti canai sekitar 15 kilogram sekarang kami tambah kepada 20 kilogram sehari supaya lebih ramai boleh merasai roti canai ini,” ujarnya.

Jelasnya, lebih 400 keping roti canai habis terjual sebelum pukul 1 petang dengan pelbagai pilihan roti seperti roti canai biasa, telur dan sarang burung.

“Kami juga menambah menu baharu iaitu roti arab yang boleh dicicah dengan kuah sardin.

“Waktu operasi juga kami lanjutkan kepada pukul 3 petang namun hanya 20 kilogram adunan roti canai sahaja, jika habis awal kami buka untuk menu yang ada,” katanya.

Norasiah juga menceritakan sejak kebenaran rentas negeri 11 Oktober lalu, ada pelanggan luar negeri ini seperti dari Kelantan menghubunginya bertanya jika kedainya beroperasi.

“Mereka menyangkakan bahawa kedai ini terletak di Kelantan kerana tidak memeriksanya lebih lanjut.

“Kami terima ramai pelanggan dari negeri lain seperti Kuala Lumpur dan Perak selain konvoi-konvoi berbasikal dan motosikal singgah untuk makan di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya