
Sebanyak RM332.1 bilion atau 20.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan diperuntukkan dalam Bajet 2022 dengan RM233.5 bilion atau 70.3 peratus untuk perbelanjaan mengurus (OE), RM75.6 bilion atau 22.8 peratus untuk perbelanjaan pembangunan (DE) dan baki RM23 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19).
Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, momentum pemulihan dijangka berterusan pada 2022 sejajar dengan kemajuan program vaksinasi yang lancar dan disokong oleh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Selain itu, Bajet 2022 dirumuskan dengan tiga objektif utama iaitu untuk mengekal dan memacu aktiviti ekonomi, membangun semula ketahanan ekonomi dan menjadi pemangkin agenda reformasi berikutan keperluan untuk memastikan pemulihan kekal kukuh.
Dalam pada itu, dari segi peruntukan sektoral, sebanyak RM133.2 bilion atau 40.1 peratus akan diperuntukkan untuk program projek di bawah sektor sosial diikuti sektor ekonomi (20.3 peratus), keselamatan (10.3 peratus) dan pentadbiran am (4.8 peratus).
“Baki berjumlah RM81.3 bilion atau 24.5 peratus akan diperuntukkan untuk perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan,” jelas laporan itu.
Peruntukan bagi perbelanjaan mengurus juga dianggar lebih tinggi dengan 6.3 peratus berbanding peruntukan 2021 yang disemak semula iaitu RM219.6 bilion dengan emolumen, bayaran khidmat hutang dan bayaran persaraan kekal sebagai tiga penerima tertinggi merangkumi 67.5 peratus daripada jumlah OE atau 9.6 peratus daripada KDNK.
Jelas laporan itu, emolumen penjawat awam mewakili satu pertiga yang dianggarkan meningkat kepada RM86.5 bilion berikut kenaikan gaji tahunan dan bayaran persaraan pula dianggarkan meningkat kepada RM28.1 bilion atau 12 peratus berikutan peningkatan penerima jumlah pesara dan penerima manfaat yang dianggarkan berjumlah hampir 628,300.
Selain itu, sebanyak RM43.1 bilion akan diperuntukkan untuk bayaran khidmat hutang dengan 98.2 peratus jumlah itu untuk pembayaran kupon atas hutang dalam negara manakala bakinya untuk pinjaman luar pesisir dengan nisbahnya kepada OE dianggarkan lebih tinggi pada 18.5 peratus sejajar dengan penggunaan instrumen hutang bagi membiayai dasar fiskal mengembang.
Peruntukan bagi bekalan dan perkhidmatan yang mewakili 13 peratus daripada OE meningkat sebanyak 30.5 peratus kepada RM30.4 bilion disebabkan perbelanjaan lebih tinggi bagi bekalan perubatan dan perkhidmatan profesional dengan peruntukan tertinggi adalah Kementerian Kesihatan (33.1 peratus), Kementerian Dalam Negeri (12.5 peratus) dan Kementerian Pendidikan (11.2 peratus).
Subsidi dan bantuan sosial akan diberikan peruntukan lebih tinggi iaitu RM17.4 bilion berbanding RM16.7 bilion pada tahun lepas berikutan peningkatan dalam pemberian bantuan sosial dan sejumlah RM14.1 bilion akan diperuntukkan sebagai geran kepada badan berkanun terutamanya bagi perbelanjaan operasi seperti emolumen, bekalan dan perkhidmatan.
Geran kepada institusi pengajian tinggi awam terdiri daripada universiti awam dan hospital pengajar yang merangkumi 64.5 peratus daripada keseluruhan peruntukan manakala sejumlah RM7.9 bilion diperuntukkan untuk pemberian dan pindahan kepada kerajaan negeri dengan RM5.9 bilion merupakan pindahan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Di bawah DE, sebanyak RM75.6 billion akan diperuntukkan berbanding RM62 bilion pada 2021 dengan RM66.9 bilion diperuntukkan untuk 5,575 projek yang sedang dilaksanakan sementara RM8.7 bilion untuk 1,180 projek baharu, manakala sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar iaitu 53.2 peratus daripada DE, diikuti sektor sosial (30 peratus), keselamatan (11.9 peratus) dan pentadbiran am (4.9 peratus).
Selain itu, sejumlah RM40.2 bilion akan disediakan untuk sektor ekonomi dengan menumpukan kepada projek merangkumi RM15.5 bilion bagi subsektor pengangkutan, RM2.1 bilion (subsektor perdagangan dan industri), RM3.2 bilion (subsektor tenaga dan kemudahan awam), RM2.9 bilion (subsektor pertanian) serta RM2.1 bilion (subsektor alam sekitar).
“Sektor sosial merupakan penerima DE kedua terbesar akan diperuntukkan dengan RM22.7 bilion meningkat sebanyak 30.7 peratus berbanding RM17.3 bilion pada 2021.
“Subsektor pendidikan dan latihan kekal penerima peruntukan terbesar berjumlah RM12 bilion, RM4.5 bilion bagi subsektor kesihatan, RM1.8 bilion (subsektor perumahan), RM3.8 billion (sektor pentadbiran) dan RM9 bilion (sektor keselamatan untuk disalurkan kepada subsektor pertahanan (60.4 peratus) serta keselamatan dalam negeri (39.6 peratus)),” jelasnya. – UTUSAN










