BELURAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memperuntukkan sebanyak RM3.45 juta bagi membaik pulih dan membina baharu rumah nelayan di Sabah.
Sebanyak 200 rumah terlibat dalam pembinaan dan pembaikpulihan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) itu dikawal selia oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, sejumlah RM6.43 juta diperuntukkan di bawah PKPN bagi membaik pulih dan membina rumah di seluruh negara pada tahun ini.
Beliau berkata, menerusi program itu, LKIM akan membantu nelayan yang berpendapatan rendah untuk membaik pulih rumah dan membina rumah baharu.
“Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat nelayan khususnya yang kurang berkemampuan.
“Secara keseluruhan kementerian menerusi LKIM telah memperuntukkan lebih RM 150 juta pada tahun ini bagi bantuan dan insentif kepada komuniti nelayan meliputi pelbagai program termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 setiap bulan serta subsidi minyak diesel dan petrol,” katanya semasa lawatan ke rumah peserta PKPN dan penyerahan bakul makanan nelayan hari ini.
Mengulas lanjut katanya, LKIM juga telah memperuntukkan sebanyak RM 500,000 untuk pembelian bangunan pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran dan RM 300,000 untuk pembinaan kilang ais batu di Kampung Keramat bagi tujuan penyimpanan hasil tangkapan perikanan dan pemasaran ikan yang akan memberi manfaat kepada 2,783 orang nelayan di kawasan ini.
Disamping itu, PNK Beluran turut menerima peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah dana khas PNK di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi menjalankan perniagaan jualan ais batu.
Sementara itu, seramai 50 orang peserta nelayan di daerah ini mendapat bantuan dan insentif secara sekali bayar di bawah projek tanaman kontan dengan peruntukan berjumlah RM 100,000 manakala, peruntukan RM4 juta diberikan dibawah projek yang sama melalui bantuan input pertanian untuk dimanfaatkan oleh 3,006 orang nelayan.
Dalam majlis itu, Ahli Parlimen Beluran ini turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 100 orang nelayan PNK Beluran.
Jelas beliau, LKIM akan terus memainkan peranan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dan memajukan perusahaan perikanan negara. Agensi ini juga akan memastikan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang masa termasuk dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).- UTUSAN ONLINE