Restoran mamak terjejas, 40 peratus pekerja asing pulang negara asal - Utusan Malaysia

Restoran mamak terjejas, 40 peratus pekerja asing pulang negara asal

HARRISRAJUDIN Alaudin (kanan) dan Roy Sathiyan ketika merasmikan bangunan Gemilang Occuhealth Sdn. Bhd di Seksyen 15, Shah Alam, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengusaha restoran mamak mengalami masalah kekurangan tenaga kerja apabila lebih 40 peratus pekerja asing sudah pulang ke negara asal sejak tahun lalu.

Rata-rata pekerja restoran di seluruh negara itu melibatkan warga India, Bangladesh dan Indonesia.

Timbalan Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Harrisrajudin Alaudin berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada pengusaha premis mengenai isu berkenaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, masalah tenaga kerja itu semakin meruncing kini apabila lebih 40 peratus pekerja asing pulang ke negara masing-masing.

“Keadaan itu nyata menjejaskan operasi perniagaan restoran sehingga ada yang turut terpaksa menutup premis atau gulung tikar,” katanya selepas merasmikan bangunan Gemilang Occuhealth  Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Kumpulan syarikat tersebut, Roy Sathiyan.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan jumlah kehadiran pelanggan restoran kini kembali meningkat sejak industri berkenaan dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

“Namun, faktor kekurangan pekerja menyebabkan pengusaha tidak dapat menyampaikan perkhidmatan dengan baik. Keadaan itu menyebabkan mereka tiada pilihan lain kecuali mengambil tenaga asing untuk bekerja,” ujarnya.

Tambah beliau, restoran mamak masih memerlukan khidmat pekerja asing berikutan warga tempatan kurang meminati pekerjaan itu.

“Minggu lalu, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengadakan sesi temuduga terbuka untuk mengisi kekosongan pekerja restoran itu.

“Namun, sambutan oleh warga tempatan amat mengecewakan walaupun ditawarkan gaji lumayan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mempertimbangkan kebenaran membawa masuk warga asing ke negara ini mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Pengusaha restoran bersedia mematuhi semua peraturan sedia ada bagi menyelamatkan ekonomi sektor berkenaan. Keperluan tenaga kerja di sektor itu semakin mendesak dan mereka tidak mahu terus menanggung kerugian,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN