Rentas negeri: Jangan takut naik bas, teksi - Utusan Malaysia

Rentas negeri: Jangan takut naik bas, teksi

Deretan bas ekspres memenuhi ruang legar Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur berikutan larangan rentas negeri ekoran kes Covid-19 yang tinggi. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penyedia pengangkutan awam darat di negeri ini sedia memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna sebaik kerajaan mengumumkan rakyat boleh merentas negeri.

Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor, R. Thiagarajan berkata, orang awam harus membuang persepsi kurang baik berhubung penggunaan perkhidmatan awam darat ekoran kebimbangan wabak Covid-19.

“Kesemua prosedur operasi standard (SOP) kerajaan kita akan patuhi seperti bas perlu kerap disanitasi, penyediaan kod imbas MySejahtera dan pemandunya yang lengkap vaksin sepenuhnya.

“Jadi kami berharap apabila kebenaran rentas negeri, masyarakat akan kembali menggunakan perkhidmatan awam darat seperti sebelumnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kebenaran merentas negeri akan dilaksanakan serentak di seluruh negara yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut Thiagarajan, pihaknya juga berharap kerajaan akan memberikan baucar kepada pengguna untuk menggalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan awam.

Sementara itu, Ahli Lembaga Koperasi Pemandu Teksi Wilayah Iskandar, Zulkifli Zainudin pula memberitahu, mereka menyambut baik langkah kerajaan kerana pergerakan rentas negeri akan memulihkan sektor tersebut.

“Sudah hampir dua tahun pemandu teksi berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19, sehingga ramai  terpaksa ‘menggantung kunci’ kerana tidak dapat mencari pendapatan.

“Jadi kami berharap kebenaran rentas negeri itu akan membuka kembali ruang kepada pemandu teksi untuk bernafas dan kembali mencari rezeki melalui kerjaya ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN