Populasi kerang semakin pulih - Utusan Malaysia

Populasi kerang semakin pulih

PETUGAS Jabatan Perikanan Malaysia sibuk memunggah kerang induk bagi projek pembakaan benih di sekitar Pulau Pinang dan Kedah. – Foto ihsan DOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keberadaan kerang dewasa di perairan beberapa negeri di negara ini yang  agak merosot, dijangka pulih kembali dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Demikian jaminan pihak Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) susulan tular hantaran menerusi akaun sosial rasmi agensi itu memaparkan usaha pembenihan kerang induk di utara tanah air.

 

“Insya-Allah, dalam masa tiga tahun akan datang, hidangan char kuetiau di Padang Kota Lama yang popular di Pulau Mutiara bakal dilimpahi dengan banyak kerang,” jelas jabatan tersebut.

 

Ketika ini, hanya lima negeri yang mengeluarkan kerang secara komersial iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor dengan penghasilan 18,674 tan pada sepanjang tahun lalu.

 

Berdasarkan data daripada portal sesawang DOF, ia melibatkan sejumlah 509 penternak akuakultur air payau dan masin dengan membabitkan keluasan kawasan hanya sekitar 9,698 hektar.

 

Susulan itu, ada netizen meminta penggemar char kuetiau di Pulai Pinang tidak merungut kurang kerang kerana peniaga masakan tersebut perlu berjimat cermat sepanjang tiga tahun kelak.

 

Jabatan tersebut tidak menyatakan perangkaan terbaharu pengeluaran kerang pada tahun ini, namun hantaran terkini melalui laman sosialnya kelmarin nyata agak mencemaskan warganet.

 

“Selesai sudah aktiviti menabur induk kerang bagi tujuan projek pembakaan dan pembenihan aruhan kerang di perairan Pulau Pinang dan Kedah,” coret hantaran itu dengan beberapa foto.

 

Ia memaklumkan, projek khas itu bertujuan sebagai stok penimbal bagi kerang semula jadi di perairan wilayah utara tanah air yang akan menggalakkan lagi pembiakan spesies berkenaan.

 

Malah, DOF memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa komited memastikan sumber kerang dewasa di Semenanjung Malaysia terus mapan demi ‘hidangan’ generasi yang akan datang.

 

Pulau Pinang pernah mengalami situasi kekurangan bekalan kerang amat teruk pada 2017 lalu dengan penghasilan cuma 434 tan berbanding tahun yang sebelumnya sebanyak 1,008 tan.

 

Bagaimanapun, angka tersebut mula melonjak drastik kepada 1,844 tan pada 2018 dan kemudian 2,780 tan pada 2019, sebelum merudum sedikit kepada 2,691 tan sepanjang tahun lalu.

 

“Kami juga sedang menyusun semula projek ternakan kerang di Selangor ekoran penurunan pengeluaran,” jelas DOF menerusi ruangan komen bagi menjawab pertanyaan dari warganet.

 

Negeri tersebut pernah hanya mengeluarkan 330 tan pada 2019 sebelum naik kepada 802 tan tahun lalu meskipun memiliki sejumlah 229 penternak kerang iaitu paling ramai di Malaysia.

 

Selangor pernah dilimpahi banyak kerang pada 2018 lalu dengan 2,610 tan berbanding tahun sebelumnya cuma direkodkan 1,998 tan yang merosot sedikit daripada 2,023 tan pada 2016.

 

Dengan keluasan 4,632 hektar (ha) iaitu terbesar di negara ini, negeri itu mengatasi jirannya, Perak hanya 2,985 ha, disusuli Johor (1,118 ha), Pulau Pinang (877 ha) dan Kedah (84 ha).

 

Justeru, pihak DOF bakal melaksanakan pemetaan semua kebun kerang berdasarkan kawasan yang sesuai dan penambahan induk akan dilakukan mengikut kajian dijalankan agensi itu.

 

Spesies ini dengan nama saintifiknya, Tegillarca granosa, turut dikenali sebagai kerang darah atau blood cockle kerana isinya lembut berwarna merah dan banyak ditemui di Asia Pasifik. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN