Peruntukan RM12 juta untuk program sukan Johor - Utusan Malaysia

Peruntukan RM12 juta untuk program sukan Johor

Hasni Mohammad. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Lebih RM12 juta diperuntukkan kerajaan negeri untuk melaksanakan pelbagai program berkaitan sukan dalam usaha merancakkan sektor berkenaan di negeri ini pada masa depan.

 

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, menerusi Johor Masterplan 2030 pihaknya berhasrat untuk menjadikan negeri itu sebagai kuasa utama sukan dalam rantau ini.

 

Katanya, impak program berkenaan bukan sahaja menjadikan sukan sebagai gaya hidup, malah memberi limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan. 

 

“Dalam usaha mempersiapkan acara sukan dan atlet, kita memperuntukkan RM5 juta bagi Program GRIT Johor 2030 selain RM1.52 juta bagi pemerkasaan persatuan sukan supaya pengurusannya lebih sistematik selaras dengan garis panduan ditetapkan Majlis Sukan Negeri Johor. 

 

“Pada masa sama, bagi memastikan Johor tidak ketandusan atlet pelapis, RM2.53 juta diperuntuk untuk pelaksanaan program GOLD iaitu program pembangunan atlet pelapis,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Hari Sukan Negara peringkat negeri di sini hari ini.

 

Tambah Hasni, pihaknya juga komited meluluskan peruntukan RM2.5 juta bagi memastikan Majlis Sukan Daerah dan Persatuan Sukan Negeri Johor mampu menerapkan budaya sukan dalam kalangan rakyat.

 

“Kita turut memperuntukkan RM500,000 untuk menyokong usaha merakyatkan sukan di negeri ini melalui penganjuran Karnival Sukan Makmur XTIF Johor.

 

“Aktiviti sukan bukan hanya untuk gaya hidup dan pembangunan atlet semata-mata, malah mampu menjadi sumber ekonomi baharu negeri, iaitu dengan menganjurkan acara Sports Tourism,” jelasnya.

 

Sementara itu, Hasni turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya yang bertaraf bandar raya menambah pelbagai fasiliti sukan khususnya di kawasan taman-taman awam.

 

“Selain memastikan kemudahan yang tersedia berada dalam keadaan yang sempurna untuk digunakan masyarakat, PBT juga boleh menambah pelbagai fasiliti khususnya yang melibatkan sukan-sukan baharu.

 

“Jika mereka perlu mengadakan kerjasama dengan pihak swasta untuk melakukan perkara itu, langkah ini juga amat digalakkan,” ujarnya.

 

Hasni turut menyarankan pelbagai acara sukan diadakan menyediakan pingat dihasilkan melalui bahan kitar semula sebagai langkah memastikan ekosistem alam sekitar turut terjaga. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya