Perkenal pembayaran pinjaman berperingkat, elak rakyat terus ditekan hutang selepas moratorium tamat - Utusan Malaysia

Perkenal pembayaran pinjaman berperingkat, elak rakyat terus ditekan hutang selepas moratorium tamat

Dasar gaji progresif dijangka dapat membantu menaikkan lebih sejuta pekerja terutama pekerja sektor PMKS.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperkenalkan pembayaran pinjaman berperingkat selepas pemberian moratorium tamat bagi membantu rakyat terus bertahan dalam situasi pascapandemik yang berkemungkinan akan berlarutan untuk tempoh yang lebih panjang.

Ketua Ekonomi Bahagian Penyelidikan AmBank, Dr. Anthony Dass berkata, langkah itu penting kerana ekonomi negara masih dalam tahap pemulihan namun kos sara hidup terus meningkat.

Jelasnya, perkara ini amat mengganggu rakyat terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang amat terkesan dengan pandemik.

“Selepas pemberian moratorium oleh kerajaan tamat pada tahun hadapan, sudah tentu perniagaan dan isi rumah yang masih belum pulih terpaksa berhadapan dengan hutang yang banyak sekali gus meningkatkan jumlah individu muflis.

“Justeru, kerajaan perlu meneliti pembayaran pinjaman berperingkat. Sebagai contoh, dengan keadaan kewangan semasa, mereka hanya mampu membayar RM500 sebulan berbanding RM2,000 kadar sepatutnya. Jadi, sepanjang 2022 benarkan mereka membayar kadar tersebut kemudian apabila keadaan kewangan mereka bertambah baik, tingkatkan pembayaran pada 2023.

“Dari segi itu, institusi perbankan boleh benar-benar membantu PMKS dan isi rumah sekali gus mengurangkan tekanan sosial yang kebanyakannya membawa kepada kes bunuh diri dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel perbincangan, Ekonomi Pasca Covid-19: Mencari Sinar dan Harapan dalam Simposium Kos Sara Hidup Negara 2021 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna secara maya, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin menegaskan, kerajaan perlu memperkenalkan dana peruncit seperti danaharta yang diperkenalkan ketika krisis pada 1998 bagi membantu sektor peruncitan yang merupakan 35 peratus penyumbang ekonomi negara.

“Mengikut keadaan semasa, kerajaan menekankan pendigitalan perniagaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengurangkan aktiviti bersemuka bagi mengekang penularan Covid-19. Namun, kerajaan perlu pendekatan yang lebih baik.

“Ini kerana, kebanyakan perniagaan sudah kehabisan modal untuk bertahan dalam keadaan semasa, jadi sudah tentu mereka tidak mempunyai modal lagi untuk melabur bagi menukar kaedah perniagaan mereka kepada digital.

“Justeru, kerajaan perlu menyuntik bantuan pendigitalan perniagaan yang lebih mampan bagi memastikan setiap perniagaan bukan hanya PMKS, malah perusahaan besar mampu menjana pendapatan dalam era pascapandemik ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN