Penuntut PSP teruja dapat kembali ke kampus - Utusan Malaysia

Penuntut PSP teruja dapat kembali ke kampus

R. NAGESHWARAN (kanan) dan R. Kishan Darmesh (kiri) membawa barang ke asrama selepas mendaftarkan diri untuk sesi kemasukan semula pelajar secara bersemuka di PSP, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: “Tak sabar rasanya nak kembali ke kelas. Lima bulan saya belajar dari rumah pun dah rasa macam lama sangat.”

Itu kata R. Nageshwaran, 20, penuntut semester kelima Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini.

Menurut anak kelahiran Ipoh itu, pembelajaran secara bersemuka menjadi keutamaannya memandangkan kaedah tersebut lebih mudah difahami berbanding belajar secara dalam talian.

“Lagipun, ini semester akhir saya di sini (PSP) sebelum mengikuti L.I (latihan industri) selepas ini. Jadi, saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik,” katanya yang hadir ditemani ibu bapa serta rakannya, R. Kishan Darmesh, 20, yang juga penuntut jurusan yang sama di politeknik tersebut.

Nageshwaran dan Kishan merupakan sebahagian daripada 500 penuntut PSP yang kembali menyambung pengajian masing-masing selepas tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Mereka ditemui semasa program Outreach Komuniti Pemantauan Kemasukan Pelajar ke kampus PSP yang dihadiri oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasri Omar serta Pengarah PSP, Harith Fadzilah Abd. Khalid.

Menurut Mohd. Nasri, pemantauan kemasukan penuntut itu akan dilakukan sehingga Disember ini dan seramai 10 anggota polis akan ditempatkan di setiap institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negeri ini untuk tujuan pemantauan prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pada itu, Harith Fadzilah memberitahu, sesi kemasukan penuntut itu akan dijalankan secara berperingkat dan keutamaan akan diberi kepada pelajar yang sesi pengajiannya tertangguh sebelum ini.

“Hari ini kita terima 500 penuntut dan untuk sesi berikutnya iaitu pada 8 November depan, seramai 700 lagi akan memulakan sesi pengajian mereka dan seterusnya sehingga keseluruhan 4,000 penuntut kembali ke kampus selepas ini.

“Mereka yang kembali ke kampus ini akan tempatkan di asrama dan kita juga akan pastikan mereka belajar dalam kelas yang sama dan sebagainya.

“Sehingga kini, sebanyak 95 peratus penuntut PSP telah menerima suntikan vaksin masing-masing dan ini merupakan satu perkembangan yang baik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penuntut, Nur Amirah Mohd Safian, 20, dari Sungai Petani, Kedah tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya untuk kembali ke kampus semula selepas berbulan-bulan belajar dari rumah.

“Fokus saya banyak terganggu sebelum ini dan Insya-Allah, saya akan cuba memanfaatkan peluang ini (belajar secara bersemuka) dengan sebaiknya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN