PUTRAJAYA: Kebenaran rentas negeri dan pembukaan semula sempadan negara sejurus lebih 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi memberikan kelegaan kepada semua pihak termasuk industri pengangkutan awam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya optimis untuk melihat sektor pengangkutan awam kembali pulih apabila semakin ramai menggunakan perkhidmatan berkenaan sama ada bagi tujuan rentas negeri mahupun ke luar negara.“Kementerian Pengangkutan optimis sektor pengangkutan awam kembali pulih,” katanya di sini semalam.
Pada masa sama, beliau menggalakkan penumpang membuat ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum menggunakan mana-mana perkhidmatan pengangkutan awam.
Namun, katanya, keperluan itu tidak wajib atau akan dikenakan kompaun dan apa jua penguatkuasaan.
“Pokok pangkalnya, setiap Keluarga Malaysia perlu bersama memainkan tanggungjawab dengan melindungi diri sendiri, ahli keluarga dan orang sekeliling,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ka Siong berkata, semua operator pengangkutan awam bagi kesemua sektor darat, udara dan maritim seperti pengusaha bas ekspres, rel, teksi, e-hailing, syarikat penerbangan, pengusaha feri dan kapal perlu memastikan setiap penumpang atau pengguna perkhidmatan pengangkutan awam menunjukkan sijil vaksinasi bagi membuktikan mereka lengkap divaksinasi sebagaimana dikehendaki dalam SOP bagi tujuan rentas negeri.
Menurut beliau, pematuhan-pematuhan SOP lain seperti memakai pelitup separuh muka dan kerap mencuci tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman juga perlu dipatuhi tanpa kompromi bagi memastikan tidak akan berlaku penularan wabak tersebut.- UTUSAN










