Penduduk desak kerajaan pasang sistem amaran awal - Utusan Malaysia

Penduduk desak kerajaan pasang sistem amaran awal

SEBAHAGIAN daripada kerosakan yang dialami penduduk dalam kejadian bencana kepala air di Yan, Kedah, baru-baru ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Penduduk di beberapa kampung di kaki Gunung Jerai di sini, mendesak kerajaan memasang sistem amaran awal sebagai peringatan sekiranya berlaku fenomena kepala air di kawasan tersebut.

Mereka berkata, kebanyakan penduduk terlibat sentiasa berada dalam ketakutan apabila hujan lebat di Gunung Jerai kerana bimbang tragedi kepala air yang berlaku di sini pada 18 Ogos lalu berulang.

Seorang penduduk Kampung Raga, Basiron Shah Mat, 55, berharap pihak berkuasa menyediakan kemudahan sistem amaran awal itu bagi memudahkan penduduk menyelamatkan diri sekiranya berlaku arus deras, tanah runtuh dan banjir di kawasan terbabit.

Menurutnya, penduduk di kawasan itu kini tinggal dalam keadaan bahaya kerana kejadian bencana kepala air boleh berlaku selepas hujan lebat pada bila-bila masa.

“Kami yang tinggal di kaki Gunung Jerai masih trauma dengan bencana kepala air sebelum ini dan mereka sentiasa berada dalam ketakutan memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.

“Kalau ada sistem amaran awal, penduduk boleh bertindak dengan pantas untuk menyelamatkan diri dan harta benda.” katanya di sini semalam.

Dua kejadian arus deras dan banjir berlaku pada 2 September serta 28 September lalu sehingga mengakibatkan beberapa rumah dinaiki air dalam kejadian banjir tersebut.

Sementara itu, kejadian bencana kepala air yang berlaku pada 18 Ogos lalu pula mengorbankan enam nyawa penduduk dan lebih 1,000 rumah penduduk terjejas.

Penduduk Kampung Acheh, Fazirah Baharum, 42, pula berkata, difahamkan, keadaan struktur tanah di Gunung Jerai masih tidak stabil selepas kejadian bencana kepala air sebelum ini.

Menurutnya, keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan penduduk kerana bencana yang lebih buruk boleh berlaku lagi selepas ini.

“Struktur tanah, batu dan pokok yang terdapat di Gunung Jerai tidak sekukuh dulu. Jika ada sistem amaran awal memudahkan penduduk membuat persiapan untuk menghadapi sebarang bencana,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN