fbpx

Pekakkan telinga dan butakan mata – Dolla

PERNAH satu ketika, di awal kemunculan mereka, penulis bertanyakan kepada mereka apakah ini satu percaturan terbaik untuk empat wanita ini bergerak sebagai sebuah penyanyi berkumpulan?

Bukan apa. Ketika itu, satu yang dirasakan tidak sesuai adalah faktor waktu. Lihat sahaja bagaimana tahun 2020 telah menyaksikan dunia sedang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Malaysia juga ‘ribut’ dengan situasi yang sama dan itu tentunya bukan satu langkah yang baik untuk memulakan kerjaya dalam bidang seni.

Seperkara lagi, jika diperhatikan, industri seni kita juga tidak begitu menerima baik kehadiran penyanyi berkumpulan wanita berbanding penyanyi lelaki.

Sekurang-kurangnya bukan pada era kini kerana kebanyakan yang dilihat mencuba untuk mara sebagai sebuah kumpulan, sama ada bertukar suram atau pun lupus terus.

Usah berasa tersinggung kerana inilah realiti yang berlaku di sini. Barangkali jika mahu menebak, mungkin kuasa feminisme dalam bidang seni ini masih ada sisa hadnya sehingga membuatkan penyanyi berkumpulan wanita rata-ratanya tidak bertahan lama.

Pun begitu, hadir sebagai pemerhati dunia muzik tanah air, dapat dikatakan, Dolla tampil berbeza. Tuah seakan-akan begitu kuat digenggam oleh mereka sehinggakan daripada orang tidak kenal siapa itu Tabby, Sabronzo, Angel dan Syasya, kini siapa sangka, mereka telah mendunia.

Terpapar foto mereka di skrin iklan digital bangunan ikonik dunia, Times Square, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, Dolla hampir menitiskan air mata kerana kini mereka tidak cuma mekar di dalam negara,bahkan di peringkat antarabangsa.

Namun begitu, apalah makna sebuah kejayaan kalau tidak melalui jerih perih dan cabaran. Sebagai sebuah kumpulan,empat wanita ini sejak dari awal dipandang serong kerana disangka cuba meniru kumpulan popular Korea Selatan, Blackpink.

Tidak sengaja terpalit dengan isu sebegitu, Dolla membuktikan bahawa mereka tidak dibayangi mana-mana kumpulan lain dan memiliki identiti sendiri.

“Bukan sahaja orang luar, kami sendiri pun tak sangka boleh mara sampai ke tahap sekarang. Lagu kami diterima ramai dan kemudian terbaru dipaparkan pula di papan iklan digital bangunan ikonik dunia, itu semua bagaikan satu angan-angan yang mustahil.

“Tetapi siapa pula dapat sangkal soal rezeki. Jujurnya, bukan senang untuk kami kerana semua tahu, cabaran sebagai sebuah penyanyi berkumpulan wanita itu bagaimana.

“Kami pun sedar masih baru dalam industri tetapi banyak perkara positif hadir kepada kami membuatkan Dolla rasa semakin yakin untuk melangkah lagi,”kata Sabronzo.

Menambah bicara, kata Tabby pula, dia tidak menolak bahawa semua perkara baik yang datang mengulit mereka kini telah menerbitkan sejuta rasa kesyukuran. Umpama, setiap penat lelah telah berbayar sekali gus membuka mata mereka betapa indahnya memikul bebanan yang berbaloi.

“Maklumlah, sebelum ini pun kami pernah melalui pengalaman yang kurang baik. Orang kata begitu begini sedangkan kami juga bukan bangun sebagai sebuah kumpulan yang tahunya cuma bergaya cantik sahaja.

“Kami kerja keras untuk capai di kedudukan sekarang. Lagi pula, tumbuh di kala negara sedang dilanda pandemik dan terpaksa pula berkurung di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia bukan mudah.

“Dolla mungkin mampu meraih potensi yang lebih maksimum seandainya tidak tersekat dengan situasi PKP. Tetapi, syukur kerana keadaan ini juga membuatkan kami mampu berjaya mara ke depan meski industri sedikit lesu ketika itu,”katanya.

Berani dan kuasa wanita

Dalam pada itu seiring dengan pelancaran single baru berjudul Berani yang menemui peminat pada minggu lalu, Tabby, Sabronzo, Angel dan Syasya sangat gembira dengan penerimaan pendengar.

Ia bukan sekadar dari aspek muzik, tetapi juga menyaksikan transisi imej yang lebih kewanitaan yang mana ia dilihat berbeza daripada sebelum ini.

Selepas Dolla Make You Wanna, Impikan termasuk Raya Raya Raya, empat wanita ini melangkah ke sebuah single sedikit ‘mellow’ dengan Berani.

Pun begitu, meski tidak serancak lagu terdahulu, Berani memberi interpretasi sendiri buat Dolla yang menganggap ia begitu mengena dengan perjalanan karier seni mereka.

“Ia satu perkataan yang ringkas, tetapi mempunyai makna yang besar. Lagu itu jelas menggambarkan Dolla yang kini kerana dengan keberanianlah kami boleh sampai ke sini.

“Jika kami tidak pekakkan telinga dan ‘butakan’ mata dengan tidak menyerap segala komen dan kecaman negatif sebelum ini, mungkin kami tidak akan berada di tahap ini.

“Kami cabar diri dan bergerak sebagai sebuah kumpulan untuk keluar daripada kotak. Kalaulah kami tidak berani buat apa yang kami lakukan sekarang, hidup kami juga tidak akan berubah,”kata Syasya.

Menurut Syasya, banyak perkara dalam hidup ini sebenarnya berlaku di saat seseorang itu berasa takut dan tidak selesa dengan apa yang membelenggu mereka.

“Kita tentulah tidak mahu terus dibelenggu dengan keadaan yang tidak kita suka. Jadi apa yang harus dilakukan? Kena ambil tindakan dan langkah berani.

“Saya percaya dengan keberanian sahaja akan menjadikan kita seorang individu yang baru dan dapat melalui segala cabaran yang mendatang.”katanya.

Tidak dikongkong

Tabby juga berkongsi Dolla sememangnya sangat bertuah kerana dikelilingi orang yang juga memberikan impak positif pada mereka.

Hal itu memberi nilai tambah buat Dolla selain berpaksikan pada bakat menyanyi dan menari yang mereka miliki sejak ditubuhkan pada tahun 2019.

Bagi Tabby, keserasian yang dimiliki mereka juga kini bagaikan sudah membentuk satu tali persahabatan yang erat walaupun pada asalnya keempat-empat mereka tidak pernah saling mengenali.
“Kami selalu disokong oleh orang yang sangat baik. Terima kasih,” katanya.

perkara-perkara yang baik dan dengan cara tersendiri. Baik media, peminat dan pasukan yang menjadi tulang belakang kami.

“Ini adalah ramuan istimewa yang menjadikan Dolla itu Dolla. Saya faham, apabila mengaitkan dengan dunia artis Kpop, banyak yang akan menekankan isu pengurusan yang biasanya terlalu tegas dan sekatan.

“Jujur kami katakan, pengurusan kami juga tegas tapi tidak seperti di sana. Saya tidak fikir perkara itu diterapkan kepada kami kerana sehingga kini pihak pengurusan memberikan kebebasan dengan apa yang kami mahu lakukan,”katanya.

Tidak berasa terkongkong, Dolla kata Tabby beruntung kerana semua pasukan yang berada di belakang mereka sudah dianggap bak satu keluarga.

Perlukah kontroversi?

Membawa keempat-empat mereka berbicara sejauh mana pentingnya kontroversi untuk direka-reka atas nama mahu popular, Dolla memberikan jawapan yang sangat realistik.

Tidak menolak bahawa barangkali ada segelintir artis atau selebriti yang sengaja terpalit dengan sesuatu isu yang direka, Dolla pula bagaimanapun selesa menjadi diri sendiri.

Tetap menghormati cara dan pendirian masing-masing dalam menentukan hala tuju kerjaya seni sendiri, Dolla bagaimanapun sebolehnya mahu dikenali sebagai sebuah penyanyi berkumpulan yang ‘bersih’.

“Tidak pula kami katakan yang kontroversi itu tidak bagus. Mungkin ia terpulang kepada situasi dan artis itu sendiri. Kami kalau boleh, engganlah terpalit kepada kontroversi dan nak cuba kekalkan aura yang positif sahaja.

“Kalau ada kontroversi pun, kami cuba juga kendalikan dengan sebaik mungkin sebab faham, adakalanya kita tidak meminta pun kontroversi itu untuk datang atau berlaku.

“Hakikatnya, kami mahu peminat tahu bahawa memang kami nak jual bakat dan muzik dan ini adalah kami. Tak perlu berlagak plastik,”kata Sabronzo.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!