ALOR GAJAH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mengakui kecewa dengan tindakan empat ahli dewan undangan negeri (ADUN) kerajaan yang berpaling tadah, memandangkan hubungannya dengan mereka adalah sangat baik.
ADUN Lendu itu berkata, beliau tidak pernah menolak sebarang permintaan dibuat rakan-rakannya itu, tambahan pula tiga daripadanya adalah Ecxo kerajaan negeri.
Sulaiman menjelaskan, setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri dicapai secara konsensus.
Katanya, kesemua Exco menunjukkan komitmen tinggi semasa Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) yang berlangsung minggu lalu dan tiada sebarang isu ditimbulkan ketika itu.
“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan empat exco berkenaan. Apa sahaja yang dipinta akan saya laksanakan sebaiknya.
“Apabila ada sesuatu keputusan yang melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka, saya akan bertanya terlebih dahulu sama ada mereka bersetuju atau tidak.
“Jadi apa yang diperkatakan ada campur tangan luar adalah tidak benar. Semua diputuskan secara bersama,” katanya ketika sidang akhbar di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini hari ini.
Yadir sama ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis; ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman dan ADUN Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman.
Terdahulu Utusan Online melaporkan, empat hari selepas kemelut politik melanda negeri ini, spekulasi akhirnya terjawab apabila empat ADUN kerajaan mengesahkan bahawa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, berkuatkuasa serta merta.
Seperti yang diramalkan, gerakan untuk menggulingkan kerajaan tersebut diketuai bekas Ketua Menteri yang juga ADUN Sungai Udang (UMNO), Datuk Seri Idris Haron bersama ADUN Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Pantai Kundor (UMNO), Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas (Bersatu), Datuk Noor Effandi Ahmad.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh turut menafikan, beliau mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.
Jelas beliau, mereka yang membuat dakwaan tersebut merupakan Exco kerajaan negeri dan sepatutnya apa yang diluahkan itu dibincangkan di peringkat MMKN.
“Kalau nak tegur buatlah dalam mesyuarat Exco dan mengapa mesti ambil langkah untuk bergabung dengan parti lain untuk memperbetulkan keadaan. Ini sesuatu yang tidak kena.
“Bagi saya mereka berada dalam exco kerajaan negeri, maka hak untuk menyatakan apa yang diperkatakan dalam sidang media berkenaan sepatutnya dibuat dalam mesyuarat Exco,” katanya. – UTUSAN ONLINE