MARANG: Kecewa dengan gaji serendah RM1,450 sebulan dengan sebuah syarikat kontraktor di Kuala Lumpur mendorong seorang pemuda dari daerah ini meninggalkan kerjaya sebagai jurutera awam untuk menjadi nelayan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Shukri Abd. Rahman, 35, tidak pernah menyesal dengan keputusan yang diambil 12 tahun lalu selepas meraih pendapatan berganda antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan dengan menangkap ikan.
Katanya, kerjaya sebagai jurutera hanya bertahan kurang dua bulan selepas tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), pada 2009.
“Pada mulanya saya sangka gaji rendah itu hanya membabitkan jurutera siswazah, tetapi hasil maklumat rakan-rakan termasuk yang bekerja di syarikat lain, didapati jurutera kanan turut berdepan nasib sama dengan gaji antara RM2,000 ke RM3,000 sahaja.
“Realiti itu menyebabkan saya malas untuk meneruskan kerjaya sebagai jurutera kerana gaji yang diterima tidak mampu menampung kos hidup di ibu kota di samping beban kerja yang banyak dan luar jangka,” katanya ketika ditemui semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan gaji jurutera tempatan di negara ini masih statik dan tidak berubah sejak 20 tahun lalu yang dianggap tidak setimpal dengan profesion berkenaan.
Walaupun bergelar profesional, gaji permulaan yang diterima jurutera siswazah masih ditawarkan pada nilai sama seperti era 2000 iaitu serendah RM1,500 hingga RM2,000 berbanding pekerja perkhidmatan p-hailing yang meraih pendapatan RM4,000 sebulan.
Mohd. Shukri berkata, perbelanjaan bulanannya pada masa itu merangkumi RM600 bagi kos makan di samping sewa bilik (RM250), minyak motosikal (RM150), pelbagai (RM200) manakala baki RM300 untuk tujuan kecemasan.
Katanya, angka gaji yang rendah pada tahun 2009 itu turut menyebabkan dia tidak mampu membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Malah, katanya, ramai dalam kalangan kenalan yang merupakan jurutera kini beralih arah ke bidang lain berikutan faktor gaji yang tidak setimpal.
“Saya berharap tangga gaji profesional dalam bidang ini dapat ditetapkan sekurang-kurangnya antara RM2,500 ke RM2,800 sebulan untuk jurutera siswazah berikutan kos sara hidup yang serba mencabar,” katanya.
Sementara itu, seorang jurutera automotif di Kuala Lumpur, Nik Hilmi Nik Mustapa, 35, terpaksa bertahan selama setahun dengan gaji RM1,800 sebulan pada 2010 sebelum memutuskan berhijrah ke syarikat lain bagi mendapatkan pendapatan yang lebih baik. – UTUSAN











