LANGKAWI: Pengumuman kerajaan memberi kebenaran kepada rakyat untuk rentas negeri bermula esok dianggap sebagai satu ‘bonus’ kepada Pulau Langkawi selepas kejayaan projek rintis gelembung pelancongan di sini yang dilancarkan pada 16 September lalu.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jumlah kemasukan pelancong dijangka meningkat berkali-kali ganda selepas kerajaan memberi kebenaran tersebut tanpa memohon kebenaran polis.
Menurutnya, sejak awal bulan ini, purata kemasukan seramai 3,842 pelancong dalam direkodkan dalam masa sehari sejak awal bulan ini
“Proses kedatangan ke Langkawi dipermudahkan lagi selepas kebenaran rentas negeri bermula esok, tak perlu pergi dapatkan surat polis dan tak perlu SJR (sekatan jalan raya),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Langkawi Great Sales (LGS) 2021 di kereta kabel SkyCab, di Jalan Telaga Tujuh, Teluk Burau di sini hari ini.
Turut hadir dalam program itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abd. Muttalib.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan perjalanan rentas akan dibenarkan bermula esok.
Menurut beliau, keputusan itu diambil selepas negara mencapai kadar 90 peratus vaksinasi bagi populasi dewasa.
Perdana Menteri berkata, dengan keputusan ini, rakyat bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya.
Pada masa sama, Muhammad Sanusi memberitahu, selepas pelancaran gelembung pelancongan pada 16 September sehingga 6 Oktober lalu, Langkawi telah menerima sejumlah 60,504 pengunjung yang telah menjana pendapatan sebanyak RM24.9 juta.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengunjung yang ingin ke Langkawi untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelakkan penularan Covid-19 dalam kalangan pelancong.
“Setakat ini masih belum ada kluster dalam kalangan pelancong, hanya penularan tempatan yang dilaporkan di Langkawi,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE










