Jurutera ilhamkan binaan kota Melayu - Utusan Malaysia

Jurutera ilhamkan binaan kota Melayu

ANTARA binaan bercirikan seni bina Melayu di dalam kawasan Kota Astaka Nilam, Teluk Intan, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Minat terhadap seni bina Melayu mendorong seorang jurutera, Shahrul Nizam Ahmad Sharud Ilham, 41, ‘merombak’ kawasan rumahnya kepada sebuah binaan yang dilengkapi beberapa struktur mirip sebuah kota Melayu.

Binaan dinamakan Kota Astaka Nilam itu terletak di Selabak, dekat sini yang mula dibina pada tahun 2018 di atas tapak tanah seluas setengah ekar.

Di dalam kawasan Kota Astaka Nilam itu didirikan balai adat, teratak, gelanggang silat, balai gendang, menara kawalan dan pintu gerbang manakala di ruang balai dipamerkan pelbagai senjata orang Melayu seperti keris, lembing, parang, pedang serta rotan manau panjang.

Shahrul Nizam yang juga guru seni silat Gayong berkata, idea membina sebuah kota bercirikan seni bina Melayu bermula selepas melihat kesukaran anak-anak buahnya mendapatkan lokasi berlatih bersilat.

Menurutnya, dia mula berfikir untuk mencari lokasi sesuai gelanggang silat.

“Daripada sebuah gelanggang silat biasa, terdetik untuk saya mengembangkan tapak ini sebagai pusat pelancongan.

“Idea itu tercetus selepas saya berbincang dengan isteri, Noraishah Abdul Aziz yang pernah menjadi pengarah di sebuah firma pelancongan.

“Dari situ bermulalah pembinaan struktur seperti pintu gerbang, menara kawalan, balai gendang, balai adat, rumah sajian dan balai terbuka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurutnya, dia membelanjakan kira-kira RM100,000 untuk menyiapkan struktur berkenaan.

“Kosnya tidaklah terlalu tinggi kerana semuanya terhasil daripada tangan saya sendiri. Sayalah arkitek dan sayalah pekerja serta dibantu oleh ayah dari segi pembinaan,” katanya.

Katanya, hampir keseluruhan bangunan dibina dengan kayu seperti merbau, cengal, meranti dan kempas dengan seni ukiran menarik yang sukar ditemukan hari ini.

Jelasnya, selain berlatih bersilat, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di situ seperti acara keramaian dan pengenalan kepada adat istiadat serta senjata Melayu.

“Kota ini juga boleh dijadikan sebagai sumber pendidikan buat pelajar-pelajar sekolah tentang reka bentuk dan seni bina Melayu.

“Selain itu, kota ini menjadi lokasi aktiviti amal bagi program memasak dan serahan sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) serta lokasi pilihan pengantin baharu untuk bergambar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN