IPOH: Peniaga di Medan Selera Taman Meru di sini, membantah cadangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk menukar fungsi premis perniagaan itu kepada sebuah mahad tahfiz swasta.
Peniaga yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peniaga di medan selera itu, Norizan Abdul Rani berkata, cadangan tersebut menyebabkan pendapatan mereka terjejas dan perkara itu juga dibantah penduduk sekitarnya.
Katanya, cadangan MBI untuk peniaga terus berniaga berhampiran medan selera itu menggunakan kabin juga tidak sesuai.
“Kami peniaga dan pelanggan dukacita dengan cadangan MBI untuk menukar fungsi medan selera ini kepada maahad tahfiz. Medan selera inilah punca pendapatan kami sebagai peniaga.
“Kami tak mahu berpindah, kami mahu pertahankan medan selera ini. Lagipun hanya ada medan selera ini untuk kemudahan penduduk yang kebanyakan warga emas berkumpul untuk makan bersama, jangan usik tempat lepak kami.
“Kami hendak kekal berniaga di medan selera ini, kami tak mahu berniaga di kabin seperti yang dicadangkan MBI,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, keengganan berpindah bukan bermakna menolak kewujudan sebuah pusat pengajian agama tetapi lokasi itu tidak sesuai untuk tujuan berkenaan.
“Medan selera ini tidak kondusif untuk pembelajaran maahad tahfiz, terletak berdekatan laluan utama yang akan menimbulkan gangguan bunyi kenderaan selain menambahkan lagi kesesakan lalu lintas sedia ada di kawasan ini.
“Kami bukan menolak mahad tahfiz, tapi tak sesuai, carilah tempat lain. Sepatutnya MBI mencantikkan kawasan perniagaan ini agar lebih ramai pelanggan datang,” katanya.
Difahamkan maahad tahfiz swasta itu untuk murid sekolah rendah yang berjumlah kira-kira 100 orang.
Setakat ini, hanya tiga peniaga berniaga di medan selera itu yang mempunyai 10 unit gerai.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi mempertikaikan peranan MBI sebagai pihak berkuasa tempatan yang mahu terlibat dalam bidang pendidikan.
“Sejak bila MBI terlibat dalam pendidikan? Apa fungsi MBI sebenarnya, sedangkan tanggungjawabnya menjaga lokaliti dan kebersihan,” katanya.
Menurutnya, alasan MBI untuk menukar fungsi medan selera itu kerana premis itu kurang pelanggan juga tidak wajar.
Beliau berkata, keadaan itu disebabkan stigma masyarakat kerana sebelum ini kawasan berdekatan medan selera itu menjadi tempat buang sampah.
“Untuk mencantikkan tempat ini, MBI sepatutnya memainkan peranan agar lebih ramai pelanggan datang namun tempat ini tidak pernah dijaga sejak ia dibina, itu antara sebab pelanggan keberatan untuk datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE