PETALING JAYA: Sebaik aktiviti rentas negeri dibuka pada 11 Oktober lalu, harga hampir semua barang membabitkan makanan dan binaan meningkat antara 15 hingga 50 peratus.
Peningkatan tersebut membebankan semua golongan yang baru mahu bangkit semula selepas teruk terkesan akibat penutupan sektor ekonomi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, dari segi makanan, peningkatan tersebut dikesan berdasarkan kajian Cassa di seluruh negara khasnya di kawasan-kawasan pelancongan.

Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku disebabkan orang ramai khususnya peniaga yang mahu meraih semula kewangan mereka selama tidak dibenarkan beroperasi sebelum ini.
“Apabila sudah ada kelonggaran orang ramai boleh masuk atau merentas negeri khasnya ke kawasan pelancongan maka mereka mengambil kesempatan meraih pendapatan dengan cara menaikkan harga.
“Peningkatan tersebut tidak begitu drastik, tetapi ini menunjukkan satu petanda terhadap berlakunya peningkatan barang jika keadaan ini tidak dikawal,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
George berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan berlaku kenaikan harga barang, khususnya selepas berakhirnya PKP dan disusuli kebenaran rentas negeri.
Selain itu, menurut beliau, kenaikan tersebut juga kemungkinan berpunca daripada negara pengeluar bahan mentah yang lebih mengutamakan rakyat berbanding mengeksport barangan tersebut.
Katanya, dengan kemerosotan nilai ringgit di pasaran antarabangsa juga memberi impak kepada pemborong untuk membawa masuk barang itu ke negara ini.
“Malah apabila terdapat barang mentah ‘terperap’ di pelabuhan akibat kelewatan kelulusan, sudah tentu ada kenaikan untuk cover balik apabila barang itu rosak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan memantau harga barang terutama makanan dalam tempoh tiga bulan ini agar tidak berterusan.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa gerai makanan dan air minuman di sekitar Petaling Jaya mendapati berlaku kenaikan harga yang ketara.
Seorang pemilik gerai air yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 29, berkata, banyak bahan dan barang basah sudah naik, seperti susu dan limau kasturi.
“Dulu saya beli limau sekilogram harga RM6, sekarang sudah naik ke RM10, dan limau lemon juga naik harga RM0.20, ke harga RM1.80.
“Susu tin juga sudah naik harga, di kedai runcit berdekatan, satu susu tin berharga RM2.80 sen, di pasar pula susu tin berharga RM2.60 sen, RM0.20 sen beza,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja gerai makanan, Maya Sari, 43, berkata, pada masa ini barang basah sedang naik tetapi mereka tidak boleh menaikkan harga makanan.
Jelasnya, barang basah seperti sayur-sayuran, ikan, ayam dan lain-lain telah naik harga, membuat pekerja gerai berasa bersalah ketika mahu menaikkan harga.
Tambahnya, dengan kenaikan harga barang basah, ramai peniaga berasa susah hati untuk berniaga dan juga rasa resah kerana perlu menyara hidup keluarga.
Bagi bahan binaan pula, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, pihaknya mendapati semua jenis bahan binaan meningkat lagi antara 30 hingga 50 peratus sebaik kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri dan hampir sektor ekonomi dibuka semula.
Beliau berkata, peningkatan tersebut bukan sahaja membebankan 10,000 kontraktor kecil yang menjana keuntungan antara 10 hingga 15 peratus berbanding 25 peratus bagi sebuah projek binaan sebelum ini tetapi juga kepada rakyat yang terutama yang perlu baik pulih kediaman masing-masing.
Katanya, peningkatan tersebut melibatkan bahan binaan seperti simen dan paku yang sememangnya diperlukan untuk pengoperasian pembinaan.
“Contohnya simen daripada RM14 meningkat kepada RM17, malah paku pun sudah tak dibenar beli dalam bentuk loose, jadi memang semua bahan binaan meningkat.
“Namun, kita lihat peningkatan harga besi masih lagi dalam trend yang kecil berbanding peningkatan yang sehingga 100 peratus sebelum ini. Jadi ini memang amat membebankan peniaga kerana harga-harga yang diambil kira semasa mendapat projek itu tak termasuk kenaikan harga barang,” katanya.
Seorang pemilik rumah di Kajang yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila kos membaiki kebocoran bumbung berharga RM700.
“Awal tahu ini, kos ditawarkan kontraktor sekitar RM500 tetapi tidak sampai setahun kontraktor sama minta sampai RM700,” katanya yang terpaksa menangguh hajat mebaiki bumbung rumahnya.- UTUSAN










