Guna banglo dalam kebun simpan rokok seludup - Utusan Malaysia

Guna banglo dalam kebun simpan rokok seludup

SALEHIN Suleiman (tengah) menunjukkan hasil rampasan rokok seludup dalam serbuan di sebuah rumah banglo dalam kebun di Kampung Teratai, Bukit Serampang, Tangkak, Johor. -UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Menjadikan kawasan kebun sebagai tempat penyimpanan bekalan rokok seludup, itu modus operandi digunakan oleh seorang suspek sebagai usaha mengaburi mata pihak berkuasa.

 

Bagaimanapun, taktik itu tidak berkekalan apabila aktiviti yang dijalankan sejak kira-kira tiga bulan lalu dihidu sekumpulan anggota Cawangan Risik Briged Tengah Polis Gerakan Am (PGA) Cheras dan Batalion 6 PGA Muar.

 

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6, Deputi Superintenden Salehin Suleiman berkata, dalam kejadian Isnin lalu, sebanyak 163,200 kotak rokok jenis U2 disyaki tidak bercukai berjaya dirampas di sebuah rumah banglo yang terletak dalam kebun.

 

“Pada pukul 3.30 petang, sekumpulan pegawai dan anggota PGA telah melakukan serbuan di sebuah rumah di kawasan kebun yang terletak di Kampung Teratai, Bukit Serampang, di sini.

 

“Hasil serbuan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang berada dalam kediaman berkenaan. Turut ditemukan 13,600 karton rokok dan sebuah lori tiga tan serta dua buah van. Keseluruhan nilai rampasan ini dianggarkan berjumlah RM3.4juta,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, di sini, hari ini.

 

Menurut Salehin, hasil soal siasat suspek yang berperanan sebagai orang tengah dan penghantar barang mengakui baru sahaja berpindah ke banglo berkenaan sejak beberapa hari lalu untuk dijadikan pusat simpanan sementara bagi rokok seludup.

 

“Suspek yang telah aktif sebagai orang tengah sekitar dua ke tiga bulan ini mengakui sering menyasarkan lokasi dalam kebun untuk menyimpan bekalan rokok seludup. Setelah bekalan habis diedarkan, suspek akan mencari lokasi baharu di kebun yang berbeza.

 

“Lelaki yang turut mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik itu kini direman selama 14 hari bermula Selasa di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967,” katanya.

 

Menurut Salehin, pihaknya akan mengesan saki baki suspek termasuk pemilik banglo bagi membantu siasatan terutama usaha menjejaki dalang utama sindiket terbabit.

 

Dalam perkembangan berkaitan, sejak Januari hingga semalam, Batalion 6 PGA berjaya melancarkan 15 serbuan melibatkan Op Kontraban di sekitar Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dengan tangkapan membabitkan 34 individu serta melibatkan nilai rampasan sebanyak RM7 juta. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN