Gabungan Aidit dan anak dalam Tentang MemandangMu - Utusan Malaysia

Gabungan Aidit dan anak dalam Tentang MemandangMu

AIDIT (kanan) memberitahu bahawa dia telah memilih sendiri anaknya, Teguh (kiri) untuk berduet di dalam Tentang MemandangMu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Komposer tersohor, Aidit Alfian sekali lagi mencuri perhatian apabila berkolaborasi bersama anaknya sendiri, Teguh Budiman menerusi lagu terbaharu, Tentang MemandangMu.

Lagu yang ditulis Aidit, Raja Mukhlis dan Bakhtiar Effendy ini menjadi runut bunyi drama I.C.U tayangan platform penstriman Nurflix.

Istimewanya, Aidit bukan sahaja menghasilkan lagu tersebut, malah turut menyumbangkan suara, berduet bersama Teguh buat pertama kalinya.

Aidit dalam kenyataan berkata pemilihan Teguh sebagai rakan duet dalam lagu ini dibuat oleh dirinya sendiri.

“Lagu ini ‘kena’ kerana dalam drama ini pun tentang hubungan anak dan bapa.

“Tidak susah untuk menjaga vokal Teguh kerana kami senang berkomunikasi dan dia pula boleh menyanyi secara berdiri lama-lama. Bukan mudah untuk seorang penyanyi berdiri dan bertahan lama-lama dan dia mampu lakukan,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Aidit selaku penerbit, penulis lagu, lirik dan penyanyi Tentang MemandangMu, dia berdepan cabaran tersendiri ketika menyiapkan lagu itu.

“Paling stress bila jaga vokal kerana saya bukan penyanyi dan tidak pernah jaga vokal sendiri. Akhirnya siap juga.

“Pembikinan muzik untuk lagu ini juga tidak lama dan dibantu oleh rakan komposer dan penulis lagu, Dr. Syed Ahmad Faizal Syed Fadzil Al-Attas atau Pacai yang bantu dari segi susunan muzik.

“Semuanya kami buat di rumah kerana dilakukan waktu perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya lagi.

Aidit dalam pada itu berkata lagu ini menceritakan tentang perjalanan seorang hamba mencari Tuhan.

“Lagu ini pada saya perihal mencari dan kisah percintaan dengan Tuhan.

“Untuk mencintai itu senang tetapi mesti bawa pada penyerahan. Kalau tak kenal bagaimana nak cinta?” ujarnya.

Dalam pada itu, Teguh mengakui selesa menyanyikan lagu ini kerana proses merakamkannya dibimbing oleh bapanya dengan caranya sendiri.

Katanya, dia perlu membuang jauh perasaan takut pada kepakaran bapanya untuk mendapatkan keselesaan itu.

“Jangan takut dengan tera dia. Hanya kena menerima diri dia seadanya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN