"Bukan soal hari ini atau semalam, tapi isunya itu." - Harith Iskander - Utusan Malaysia

“Bukan soal hari ini atau semalam, tapi isunya itu.” – Harith Iskander

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelawak dan selebriti terkenal, Harith Iskander, mempertikai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung isu pengakuan pengalaman gangguan seksual yang dialami oleh penerjun negara, Pandalela Rinong baru-baru ini.

Menurut Harith, adalah tidak wajar Faizal mempersoalkan apa yang dialami oleh Pandalela itu kerana masa atau bila ia diluahkan bukan perkara pokok untuk diperdebatkan.

“Bagi saya, tidak kisahlah bila-bila pun dia (Pandalela) mahu meluahkan mengenai hal ini. Hari ini ke, semalam ke, bulan depan ke.

“Apa yang penting ialah dia berani tampil membicarakan hal itu. Untuk membuka cerita mengenai sebuah pengalaman yang menjadi penyebab trauma secara umum bagi saya, ia memerlukan sebuah keberanian.

“Ia memperlihatkan bahawa kes ini adalah satu peringatan bahawa kisah gangguan seksual yang dihadapi oleh atlet-atlet wanita adalah relevant dan selama ini tidak dihebohkan,”katanya.
Harith berkata demikian dalam satu hantaran yang dibuat dalam akaun Instagramnya pada hari ini.

Menerusi hantaran tersebut, Harith juga memuat naik tangkap layar keratan berita daripada sebuah portal berbahasa Inggeris tempatan yang melaporkan mengenai kenyataan Faizal Azumu.

Antara yang dipertikaikan oleh Faizal ialah mengapa Pandalela membicarakan hal gangguan seksual pada waktu ini sedangkan ia sudah lama berlaku.

Dalam pada itu, Harith bagaimanapun memuji tindakan Faizal yang mendakwa akan mengatur pertemuan dengan bekas Menteri Belia dan Sukan terdahulu.

Bagaimanapun kata Harith, sebagai rakyat, tentunya semua pihak mahu melihat ketelusan siasatan yang dijalankan dan tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang didapati bersalah.

“Saya harap perkara ini akan menjadi pembuka mata untuk setiap ahli politik yang duduk di Dewan Rakyat sekarang dan bersetuju bahawa Malaysia memerlukan Akta Gangguan Seksual untuk diperdebatkan pada waktu ini demi keselamatan kaum wanita dan lelaki di negara ini,”katanya.

Terdahulu, menerusi satu ciapan di Twitter, Pandalela sebelum ini berkongsi pengalamannya berdepan dengan jurulatih yang sering berlawak lucah terhadap rakan atlet.

Atlet berusia 28 tahun itu berkata, dia terpaksa berdiam diri atau buat-buat ketawa kerana takut terhadap jurulatih itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya