fbpx

25 Oktober 2021, 6:08 am

  TERKINI

BMS 2021 ajak ibu bapa jadi hero rancang kewangan

WAN Saiful Wan Jan pada majlis pelancaran Bulan Menabung Simpanan SSPN 2021 secara maya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Bulan Menabung Simpan SSPN 2021 atau BMS 2021 merupakan program signature Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diadakan bersempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.

Program itu berlangsung sepanjang Oktober, dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dianjurkan di peringkat negeri dengan pelaksanaan secara maya serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan norma baharu.

Mengekalkan tagline ‘Jom jadi superhero anak anda,’ tema Galaksi dipilih sebagai tema baharu bagi mengajak ibu bapa menjadi `hero’ kepada anak-anak mereka dalam perancangan kewangan melalui tabungan agar mereka berjaya melanjutkan pengajian tanpa masalah kewangan.

BMS 2021 merupakan antara program yang dirangka dan dilaksanakan oleh PTPTN bermula 2018 yang merupakan satu-satunya agensi yang melaksanakan program khas bersempena Hari Tabungan Sedunia.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, BMS 2021 dilaksanakan sebagai program promosi dalam usaha menjadikan produk Simpan SSPN sebagai pilihan utama masyarakat untuk membuat penabungan.

“Program seumpama ini dilihat mampu menyampaikan maklumat dan memberi pendedahan mengenai perancangan kewangan serta memupuk amalan menabung dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak.

“Hari Tabungan Sedunia atau World Savings Day membawa objektif utama iaitu menyemai semangat penabungan masyarakat di seluruh dunia.

“Walaupun dunia dan negara kini masih lagi dilanda pandemik Covid-19, ia bukan alasan untuk kita tidak menyemai semangat menabung,” katanya pada Majlis Pelancaran BMS 2021 secara maya, hari ini.

Pelancaran BMS 2021 diadakan secara maya menerusi Facebook rasmi di PTPTNOfficial dan Youtube di PTPTNTV. Ia turut dihadiri Ketua Ekseklutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid yang membuat penampilan istimewa bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.

Pelbagai program disediakan termasuk Bonding Chef Junior, Sembang Santai BMS 2021, Forum Cakna Kewangan, 2 Siri P&T, Detik Indah Bersama Si Manja dan My Parents, My Real Superheroes.

Program berbentuk pertandingan turut diadakan iaitu Fotografi Simpan SSPN, Chef Junior Simpan SSPN, Simpan SSPN Got Talent, Colouring Contest Simpan SSPN, Snap & Win Simpan SSPN, Happy Hour, Quizizz dan Cabaran #SuperheroSiManja.

Pejabat PTPTN negeri turut memeriahkan program dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti di peringkat negeri.

BMS 2021 membawa kelainan dengan adanya pelbagai program dan pertandingan baharu yang menarik untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak, yang diadakan secara langsung melalui media sosial rasmi PTPTN.

PTPTN turut merencana program khas PTPTN Prihatin bagi menyemarakkan lagi BMS 2021 iaitu Jelajah Simpan SSPN 2021. Ia turut memperkenalkan Tabung Impian dengan tujuh karakter seperti Angkasawan, Bomba, Jurutera, Doktor, Tentera, Hakim dan Juruterbang sebagai daya tarikan kepada masyarakat.

Masyarakat perlu bijak merancang kewangan serta menyemaikan semangat penabungan lebih-lebih lagi pada musim pandemik Covid-19 yang dapat membantu sekiranya berlaku kecemasan.

Masyarakat turut digalakkan menyertai dan memeriahkan program BMS 2021 dengan menjadikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan seisi rumah, seterusnya berpeluang menikmati pelbagai manfaat tabungan pendidikan. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI