Berputih mata kebun dimusnahkan gajah - Utusan Malaysia

Berputih mata kebun dimusnahkan gajah

PEKEBUN melihat pokok kelapa yang tumbang diserang gajah liar di Kampung Sungai Bayu Baru Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seramai 16 pekebun menanggung kerugian kira-kira RM200,000 selepas tanaman di atas tanah seluas 120 hektar diusahakan mereka di Kampung Sungai Bayu Baru, di sini, musnah dipercayai angkara tiga gajah liar sejak empat bulan lalu.

Dalam tempoh tersebut, dianggarkan hampir 1,000 pokok seperti kelapa sawit, kelapa, pisang dan buah-buahan yang sudah mengeluarkan hasil dengan usia 10 tahun ke atas rosak serta tumbang menjadi ‘mangsa’ serangan kawanan gajah terbabit.

Seorang penduduk, Che Adam Che Kob, 64, berkata, masalah ancaman gajah liar itu tidak boleh lagi dibiarkan kerana semakin banyak tanaman diusahakan penduduk dimusnahkan.

Katanya, kumpulan gajah liar itu masih berada dalam kebun dan turut berkeliaran di kawasan rumah mereka.

“Serangan gajah itu menyebabkan penduduk takut mengambil hasil tanaman di kebun masing-masing.

“Dalam tempoh tiga hari ini, serangan haiwan itu semakin ketara sehingga menjejaskan pendapatan kami yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman di kebun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi pekebun, Mohd. Faizul Isma, 33, berkata, masalah itu sudah beberapa kali dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah ini, namun belum menampakkan hasil.

Dia bimbang keselamatan diri dan keluarga, terutama golongan kanak-kanak, lebih-lebih lagi apabila kumpulan gajah liar terbabit sudah semakin berani merayau berhampiran rumah penduduk.

“Kami sudah melakukan pelbagai cara bagi menghalau mereka termasuk membakar tayar tetapi tidak berkesan.

“Setiap hari bermula pukul 8 malam ke atas, kami bersama keluarga masing-masing terpaksa berkurung dalam rumah kerana bimbang terserempak dengan gajah yang berkeliaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN