[Laporan Ekonomi] Bajet 2022 sokong pemulihan negara - Utusan Malaysia

[Laporan Ekonomi] Bajet 2022 sokong pemulihan negara

KERAJAAN akan terus memacu pertumbuhan negara dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui pelbagai inisiatif. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerajaan komited memastikan negara kembali pulih pada tahun hadapan disokong Bajet 2022 yang memberi tumpuan dalam memacu pemulihan ekonomi, membangunkan semula daya tahan negara dan memangkin perubahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan aktiviti sosial dibenarkan beroperasi seterusnya menjadikan keadaan negara bertambah baik.

Kata beliau, dengan nilai ambang PPN bagi setiap negeri diurus dan dipantau secara rapi, ekonomi domestik dijangka dibuka sepenuhnya pada suku keempat tahun ini dan meneruskan trajektori pertumbuhan prapandemik menjelang 2022.

“Sebagaimana kita berhasrat untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa pendek, kerajaan juga komited bagi memenuhi agenda reformasi dan pembangunan negara yang lebih besar seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Sehubungan itu, kerajaan akan terus memacu pertumbuhan negara dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui pelaksanaan dasar seperti Dasar 4IR Negara, MyDIGITAL (termasuk pelaksanaan 5G), Perumahan Mampu Milik, Pendidikan, Perubahan Iklim dan lain-lain supaya perkongsian dalam keupayaan menjana kejayaan yang lebih saksama dan matlamat kemampanan negara dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan prakata untuk Tinjauan Ekonomi 2022 yang diterbitkan Kementerian Kewangan.

Menurut Ismail Sabri, asas untuk menjadikan Malaysia lebih berjaya, inklusif dan mampan juga akan direalisasi melalui ikrar untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 serta melalui langkah perubahan yang digariskan dalam insiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) diterajui syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC).

Jelas beliau, secara keseluruhannya, Bajet 2022 akan menyokong semua dasar tersebut seterusnya memacu pertumbuhan jangka masa pendek di samping membina asas pembangunan masa hadapan dan lebih penting, daya tahan sosioekonomi.

Namun, kata beliau, impak Covid-19 masih membelenggu seluruh lapisan masyarakat terutamanya bagi yang kurang berupaya menanggung beban terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta industri seperti pelancongan dan perkhidmatan.

“Memandangkan terdapat keperluan untuk mencapai kemampanan fiskal, kerajaan menyeru sektor swasta untuk turut sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

“(Ini supaya) kita dapat mengembalikan kehidupan dan mata pencarian seperti sedia kala secepat mungkin di samping secara beransur-ansur menerima hakikat Covid-19 sebagai endemik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN