fbpx

25 Oktober 2021, 4:52 am

  TERKINI

Baca al-Quran, zikir rahsia wanita 108 tahun kekal sihat

MARDZI Abu Bakar (tengah) bersama Adnan Marzuki (kiri) dan Asri Marzuki (kanan) di Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah. - UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang warga emas berusia 108 tahun mendedahkan, antara amalan yang dilakukannya untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental adalah rajin membaca al-Quran serta berzikir sejak usia muda.

Mardzi Abu Bakar yang tinggal di Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda di sini memberitahu, dia turut menjaga aspek pemakanan untuk kekal sihat iaitu tidak minum air berais dan tidak makan ayam.

Sebaliknya, kata warga emas itu, dia hanya makan masakan kampung seperti asam pedas, ikan masak asam dan ulam-ulaman.

“Umur panjang adalah ‘bonus’ yang perlu dimanfaatkan untuk mencari bekalan ke alam akhirat nanti,” katanya ketika ditemui di kampung itu, semalam.

Dia yang berstatus ibu tunggal selepas kematian suaminya, Marzuki Hashim kira-kira 20 tahun lalu menerima Anugerah Warga Emas Tertua Negeri Kedah kategori Wanita sempena Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kedah 2021, baru-baru ini.

Mardzi yang masih boleh mendengar dan melihat dengan jelas berkata, meskipun kekuatan fizikalnya semakin lemah disebabkan faktor usia, dia masih mampu melaksanakan ibadah solat fardu lima waktu dengan sempurna.

“Alhamdulillah, saya juga tidak menghidap sebarang penyakit kronik,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Mardzi memberitahu, dia mempunyai lapan anak namun dua daripadanya meninggal dunia ketika masih bayi, 23 cucu dan sembilan cicit.

Sementara itu, anak bongsunya, Asri Marzuki, 48, berkata, dia mengambil tanggungjawab menjaga Mardzi kerana tinggal bersebelahan rumah ibunya selain dibantu abangnya, Adnan, 68, yang tinggal di Tikam Batu dekat sini.

“Menjaga orang tua perlu banyak bersabar dan jangan tinggalkan mereka sendirian,” ujarnya.

Tambahnya, ibunya kini semakin ceria selepas rentas negeri dibenarkan kerana anak cucu yang tinggal berjauhan akan pulang ke kampung untuk menziarahinya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI