KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah berpengalaman, Nam Ron memaklumkan dia tidak terdesak untuk meraih satu juta pengikut di laman sosial semata-mata untuk mendapat tempat di industri perfileman Malaysia.
Jelas Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 51, di akaun Twitter jika sesiapa beranggapan begitu ternyata sangkaan mereka salah.
“Awak betul-betul fikir yang saya terdesak sangat hendak satu juta pengikut?
“Maka awak silap! Awak tidak kenal siapa saya. Saya tidak perlukan sejumlah itu untuk dapat tawaran dari stesen TV atau mana-mana produser.
“Sebab nama saya Nam Ron,” ciapnya pelakon yang sudah menjulang pelbagai trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi pelbagai anugerah berprestij.
Sebelum ini Nam Ron ada memuat naik gambar tidak berbaju yang menyindir segelintir pihak stesen TV dan penerbit yang meletakkan prasyarat seseorang pelakon perlu mempunyai bilangan satu juta di laman sosial sebelum diambil berlakon dalam sesebuah naskhah.










