KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar usul supaya pendedahan Pandora Papers dibahaskan di Parlimen.
Beliau berkata, usul itu telah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, seperti yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya.
“Mengambil maklum pendedahan Pandora Papers awal pagi tadi, saya telah menghantar suatu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Saya menggesa agar Dewan Rakyat untuk segera membahaskan isu mendesak ini kerana ia telah menyebut beberapa nama besar dalam negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga membuat usul tersebut kerana percaya Pandora Papers adalah berkenaan kepentingan orang ramai kerana turut menyebut nama-nama tokoh politik kerajaan dan juga pembangkang.
“Saya mohon usul ini dipertimbang dan dilulus untuk dibahaskan,” katanya.










