ADUN DAP nafi ke Istana Negara, minta Norhizam henti cemar nama PH - Utusan Malaysia

ADUN DAP nafi ke Istana Negara, minta Norhizam henti cemar nama PH

Low Chee Leong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong menempelak ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee berhubung kenyataan akhbar dikeluarkannya malam tadi, berkenaan kunjungan 15 ADUN Melaka ke Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Norhizam sebelum ini memberitahu, kunjungan tersebut adalah untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung ketidakpuasan hati mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, kelmarin.

Chee Leong yang membuat kenyataan dalam laman sosial Facebook miliknya menafikan kenyataan Norhizam dan memberi amaran supaya berhenti mencemarkan nama Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, Pengerusi PH negeri, Adly Zahari juga telah menafikan perkara tersebut.

“Merujuk kepada pengumuman Norhizam malam ini (semalam), ADUN PH dan empat orang ADUN yang isytihar tidak lagi sokong kerajaan PN akan mengadap Agong, Adly telah menafikan perkara ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa Norhizam harus berhenti mencemarkan nama baik PH, kerana bukan semua ADUN PH menerimanya sebulat suara. Jangan juga bermimpi DAP akan terima dia sebagai rakan.

“Tidur awal, jangan mimpi,” katanya.

Terdahulu, Norhizam yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka mengeluarkan satu kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp kepada pengamal media, memaklumkan 15 ADUN akan menaiki bas ke Istana Negara hari ini.

Menurutnya, tindakan berkenaan dibuat susulan ketidakpuasan hati terhadap isu dwi standard dalam pengisytiharan pembubaran DUN.

Beliau berkata, ia dicadangkan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan dipersetujui oleh barisan ADUN yang lain selepas mendakwa, menjadi mangsa ‘pilih kasih’ ekoran pembubaran dibuat secara tergesa-gesa.

“Kami sedih kerana 15 wakil rakyat berjaya membentuk majoriti secara fizikal dan undang-undang, tetapi kami telah menjadi mangsa double standard mereka (kerajaan negeri).

“Idris mencadangkan kesemua kami 15 ADUN untuk menghantar memorandum kepada Seri Paduka esok dengan menaiki bas ke Istana Negara untuk menyelesaikan krisis ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN