PETALING JAYA: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan dimasukkan ke High Dependency Unit (HDU) Institut Jantung Negara (IJN), petang tadi.
Perkara itu disahkan anak sulungnya, Zakimi yang dihubungi Utusan Malaysia malam ini.
Katanya, Zaman Khan yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) Isnin lepas dipindahkan ke HDU petang tadi di bawah pemerhatian rapi.
Menurut Zakimi, bapanya dalam keadaaan sedar namun tekanan darah tidak berapa stabil dan mempunyai sedikit jangkitan kuman.
Bagaimanapun, Zaman Khan masih memerlukan pemerhatian rapi daripada petugas perubatan dan mengharapkan semua pihak mendoakan yang terbaik.
“Tan Sri (Zaman Khan) juga banyak komplikasi dan doktor maklum mereka cuba lakukan yang terbaik untuknya.
“Namun apabila dimasukkan ke HDU, maka kita doakan yang terbaik sahajalah dan supaya Tan Sri cepat sembuh,” katanya.
Zaman Khan, 78, pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada 1997.
Beliau adalah Pengarah JSJ Bukit Aman pada 1993 yang terbabit dalam kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P. Kalimuthu yang dikenali sebagai Bentong Kali.
Beliau juga antara pegawai kanan polis yang terawal di lokasi kejadian tragedi Kondominium Highland Towers pada 1993. – UTUSAN ONLINE