KUANTAN: Suruhanjaya Pendidikan perlu ditubuhkan untuk membuat kajian terperinci mengena sistem pendidikani negara dalam usaha memupuk integrasi dan perpaduan kaum yang masih lemah.
Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) sebelum ini pernah bercakap dan menganjurkan seminar soal perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ia dilaksanakan kerana, Kongres melihat semakin berlakunya jarak perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres, Jasni Md. Kechik berkata, kesatuan itu pernah membangkitkan soal sistem aliran sekolah perlu dikaji dan diubah supaya melambangkan wujud perpaduan dalam kalangan pelajar bermula prasekolah.
Bagaimanapun, menurut beliau, pandangan Kongres pada waktu itu tidak mendapat perhatian pihak kerajaan mungkin atas faktor tertentu.
“Jadi, bila ada cadangan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Pendidikan, Kongres bersetuju dan suruhanjaya itu perlu diberikan ruang mengkaji sistem aliran sekolah malah sistem pendidikan itu sendiri.
“Suruhanjaya tersebut perlu memberi syor supaya sistem pendidikan kita dilihat mengamalkan perpaduan dalam kalangan pelajar serta masyarakat demi menjamin kesejahteraan kita,” katanya semalam.
Kelmarin, dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, Pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM), Tun Dr. Arshad Ayub membangkitkan cadangan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Pendidikan.
Arshad yang berjaya merealisasikan sasaran pendidikan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein membangkitkan cadangan itu kerana sistem pendidikan negara dilihat masih gagal menyatukan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.- UTUSAN










