Warga emas didakwa bakar bengkel diarah jalani ujian mental - Utusan Malaysia

Warga emas didakwa bakar bengkel diarah jalani ujian mental

YIP Chee Hong (tengah) mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan khianat hingga menyebabkan kemusnahan sembilan lot bangunan kedai, pada 11 September 2021 di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas tuduhan melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kemusnahan sembilan lot bangunan kedai, pada pertengahan bulan ini.

Yip Chee Hong, 61, yang menetap di Bukit Sekilau dekat sini, memahami segala pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan hakim, Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Lorong 7 Industri Padang Lalang, dekat sini, pada 11 September lalu lebih kurang pukul 5 pagi.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan didenda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Haizan manakala tertuduh diwakili peguambela, Datuk Zaharman Zainal Abidin.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon tertuduh menjalani pemeriksaan mental sebelum kes tersebut dibicarakan, namun tertuduh diwakili Zaharman memohon mahkamah mengizinkan tiada sebarang pemeriksaan mental dilakukan di mana-mana pusat pemeriksaan yang telah dicadangkan.

Menurut Zaharman, anak guamnya itu masih boleh berkomunikasi dan mengingati nombor kad pengenalan dengan tepat ketika dikehendaki jurubahasa. 

Tambahan pula, tertuduh sudah lewat usia ketika kejadian berlaku dan mengalami masalah kesihatan termasuk demam ketika masih dalam tahanan reman.

Mahkamah bagaimanapun mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Permai, Johor Bahru mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Prosedur Jenayah, terlebih dahulu sebelum kes diteruskan untuk penilaian yang lebih tepat.

Mohammed Mokhzani menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan mental. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN