JOHOR BAHRU: Seorang peniaga wanita mengalami kerugian sebanyak RM395,200 akibat terjerat penipuan Love Scam membabitkan seorang lelaki yang kononnya tinggal di London, United Kingdom.
Mangsa yang berusia 23 tahun itu hanya menyedari menjadi mangsa penipuan selepas membuat 24 transaksi melibatkan 11 akaun berbeza antara 13 hingga 15 September lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berkaitan penipuan love scam itu selepas mangsa membuat laporan polis semalam.
Katanya, mangsa mengenali suspek lelaki warga asing itu melalui satu laman sosial Instagram yang menggunakan nama akaun ‘CHONGWEI4580’ pada hujung April lalu.
Tambahnya, sepanjang perkenalan itu mangsa telah berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sehingga jatuh cinta dengan suspek terbabit.
“Pada 10 September lalu, mangsa yang baru kematian suami dihubungi suspek yang kononnya bersimpati dengan nasib mangsa ingin mengirimkan barangan mengandungi wang tunai USD950,000 kepadanya.
“Tiga hari berselang, mangsa menerima emel dari syarikat penghantaran yang beroperasi di Korea Selatan yang meminta mangsa menjelaskan bayaran sebanyak RM6,200 bagi tujuan melepaskan barangan tersebut dari pihak Kastam.
“Wanita itu turut diugut sekiranya enggan membuat bayaran tersebut dan bayaran-bayaran lain yang diarahkan suspek, mangsa akan ditangkap kerana bersubahat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
“Mangsa berasa takut mengikuti segala arahan yang diberikan suspek sehingga mengalami kerugian sebanyak RM 395,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ayob Khan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda.
Jelasnya, untuk semalam sahaja, jumlah kerugian kes komersil yang dilaporkan di Johor adalah sebanyak RM546,203 melibatkan tiga kes penipuan jual beli dalam talian, dua kes penipuan tawaran pekerjaan, parcel scam dan penipuan pelaburan.
“Polis Johor menyeru dan menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka dengan trend jenayah semasa yang berlaku terutama melibatkan transaksi belian dalam talian, pelaburan dan perkenalan melalui media sosial.
“Gunakan aplikasi semakan dalam talian yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa seperti Semak Mule sebelum melakukan sesuatu transaksi kewangan,” ujarnya.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah bolehlah disalurkan secara terus menerusi infoline JSJK di talian 013-2111222 atau boleh menghubungi bilik gerakan kontinjen johor di talian 07-2254074 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN ONLINE










