KOTA BHARU – Pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan diperluas ke negeri-negeri lain selepas sasaran imuniti kelompok golongan dewasa tercapai.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, setakat ini, pemberian suntikan vaksin untuk usia itu hanya membabitkan Sarawak sejak tiga hari lalu
“Setakat ini, kita menggunakan satu jenis vaksin sahaja iaitu Pfizer untuk golongan remaja kerana berdasarkan data klinikal yang diperoleh, vaksin jenis itu disahkan selamat, berkesan dan berkualiti untuk mereka.
“Kita memutuskan untuk menumpukan pemberian vaksin Covid-19 kepada mereka yang berusia 16 dan 17 tahun serta remaja yang menghidap lebih daripada satu penyakit kronik atau komorbiditi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama Timbalannya, Datuk Ahmad Amzad Hashim di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Menyentuh penghasilan vaksin Covid-19 oleh Malaysia, Dr. Adham berkata, pelan hala tuju rancangan itu sedang dirangka sebelum tindakan mengumpulkan saintis dalam dan luar negara digerakkan.
Ditanya tentang pemberian suntikan dos ketiga, beliau berkata, perkara itu akan dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV). – UTUSAN