MELBOURNE: Harga minyak mentah jatuh berikutan kebimbangan gangguan bekalan dan banjir yang melanda Louisiana, Amerika Syarikat (AS) akibat Taufan Ida, akan menjejaskan permintaan.
Selain itu, berita kemungkinan negara pengeluar minyak dunia akan meningkatkan pengeluaran turut mencetuskan kebimbangan berlaku lebihan bekalan sehingga menjejaskan harga kontrak hadapan komoditi tersebut.
Pada sesi dagangan semalam, harga kontrak hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut 41 sen atau 0.6 peratus kepada AS$68.80 (RM285.73) setong.
Pasaran minyak mentah Brent untuk kontrak Oktober yang berakhir semalam, turut jatuh 46 sen atau 0.6 peratus kepada AS$72.95 (RM302.96) setong, selepas menokok satu peratus kelmarin.
Malah harga kontrak hadapan Brent untuk November turut susut 42 sent atau 0.6 peratus kepada AS$71.81 (RM298.23) setong.
Prospek kemungkinan berlaku kenaikan pengeluaran komoditi itu dijangka akan terus memberi kesan kepada harga penanda aras di pasaran global, jelas penganalisis ekonomi.
Taufan Ida yang melanda Louisiana telah menjejaskan pengeluaran di enam telaga dengan kapasiti 1.92 juta tong sehari, merangkumi kira-kira 12 peratus pengeluaran AS.
“Ketika ini syarikat-syarikat terjejas sedang menilai kerugian, dan berapa lama operasi mereka akan terjejas masih tidak dapat dipastikan.
“Mengambil kira bencana yang melanda Louisiana, gangguan bekalan dijangka berlaku untuk tempoh tiga minggu, sekali gus menjejaskan usaha membaik pulih dan operasi semula di kemudahan terbabit,” kata penganalisis RCS dalam nota kajiannya.
Dari segi bekalan, dijangkakan pengeluaran kira-kira 1.72 juta tong sehari daripada telaga minyak di Teluk Mexcio yang terjejas akibat Taufan Ida, masih tidak dapat disambung semula.
Sementara itu, Pertubuhan Negara-negara Pengeskport Petroleum (OPEC) dan sekutunya (OPEC+) dilaporkan telah bersetuju dengan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 400,000 tong sehari untuk pasaran Disember.
OPEC+ dilaporkan akan mengadakan pertemuan esok dengan para perwakilan dijangka memberi persetujuan kepada rancangan tersebut.
Bagaimanapun, Menteri Minyak Kuwait dilaporkan berkata, rancangan itu akan diteliti semula mengambil kira ancaman pandemik Covid-19 di Asia yang boleh menjejaskan permintaan terhadap minyak mentah di rantau berkenaan. – AGENSI










