IPOH: Sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran tumpas selepas polis Perak menahan seorang lelaki Indonesia dan merampas 29 kilogram dadah bernilai lebih RM1 juta, semalam.
Tangkapan ke atas lelaki berusia 56 tahun itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Hilir Perak pada pukul 12.55 tengah malam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek ditahan di tepi jalan di kawasan Bagan Lipas Laut, Rungkup bersama dua beg guni berisi dadah jenis syabu seberat 29 kg.
Menurut beliau, semasa ditahan, suspek dipercayai dalam proses membawa dadah tersebut ke jeti sebelum diseludup ke Indonesia melalui jalan laut.
“Berdasarkan siasatan, modus operandi suspek adalah menggunakan jeti haram untuk menyeludup dadah ke tengah laut menggunakan bot atau sampan dan ada individu lain yang menunggu untuk mengambil dadah berkenaan.
“Suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu dan mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan yang sedang dikesan,” kata beliau dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut Mior Farid, dadah yang dirampas dengan nilai keseluruhan RM1,740,000 itu boleh dibekalkan untuk kira-kira 300,000 penagih.
Katanya, ujian saringan air kencing terhadap lelaki itu mendapati dia negatif dadah selain tidak mempunyai rekod jenayah.
Suspek direman tujuh hari mulai semalam hingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sementara itu, dalam tangkapan berasingan kelmarin, beliau berkata, tujuh individu termasuk sepasang suami isteri ditahan bersama 4.6 kg dadah dengan nilai keseluruhan RM150,640.
Katanya, tangkapan pertama pada pukul 3.35 petang di sebuah rumah di kawasan Changkat Jong, Teluk Intan membabitkan suami isteri berusia 37 dan 28 tahun.
“Hasil pemeriksaan di rumah pasangan terbabit menjumpai dadah jenis heroin seberat 4,189.36 gram dan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 409.85 gram dengan nilai keseluruhan RM150,000.
“Susulan tangkapan terhadap pasangan itu, polis kemudian membuat tiga serbuan lain di sekitar Teluk Intan dan menahan lima lelaki berusia lingkungan 18 hingga 32 tahun.
“Tangkapan terhadap lima suspek itu membawa kepada rampasan 5.61 gram syabu dan 1.57 gram ganja dengan nilai rampasan RM640,” katanya.
Tambah beliau, ujian saringan air kencing ke atas kesemua tujuh suspek itu mendapati hanya suspek wanita negatif daripada pengambilan dadah.
“Pasangan suami isteri itu direman enam hari bermula semalam manakala lima suspek lain direman empat hari. Siasatan ke atas mereka dijalankan mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 6 ADB 1952,” katanya. – UTUSAN