Samun bermotosikal: Polis giat buru suspek - Utusan Malaysia

Samun bermotosikal: Polis giat buru suspek

KEADAAN Siti Nur Azizah Syafriadi selepas motosikal dibonceng bersama kekasihnya disamun sebelum dilarikan tiga lelaki di Jalan Kuching, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis masih lagi memburu suspek kes samun bermotosikal di Jalan Kuching di sini pada 26 Ogos lalu sehingga menyebabkan sebelah tangan mangsa terpaksa dipotong.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, usaha mengesan ketiga-tiga suspek giat dijalankan.

“Kita sedang berusaha keras memburu suspek-suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Eng Lai, bagaimanapun, nombor plat pendaftaran motosikal dipercayai digunakan suspek tidak dapat dikenal pasti.

“Ini kerana mangsa tidak dapat mengecam nombor plat pada motosikal suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2206 bagi membantu siasatan,” ujarnya.

3 September lalu, polis mengeluarkan fotofit seorang suspek disyaki terbabit dalam kejadian itu berdasarkan hasil keterangan saksi.

Dalam kejadian itu, sepasang kekasih cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun yang menyebabkan mangsa lelaki cedera di muka dan badan manakala teman wanitanya cedera di bahu kanan serta dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Susulan itu, tangan kanan mangsa wanita yang cedera parah dalam kejadian itu terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya kerana jangkitan kuman.

26 Ogos lalu, mangsa dan teman wanita menaiki motosikal Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang sebelum didatangi individu menaiki motosikal Honda RS150 warna kelabu.

Siasatan awal mendapati suspek terdiri tiga lelaki tempatan melarikan motosikal milik mangsa bernombor pendaftaran VFU 814.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN